Sebagai pencipta kandungan, kadangkala kita juga tidak lari dari mencari sesuatu aplikasi yang percuma, atau sekurang-kurangnya masih lagi murah untuk dilanggan. Salah satu aplikasi yang sering dicari ialah alat penyunting video.
FlexClip menawarkan pelbagai fungsi penyuntingan video secara percuma, dan dengan akaun berbayar yang anda langgani, ia memberi sedikit lebih keistimewaan berbanding akaun percuma.
Jika hendak dibanding dengan Canva, FlexClip tidak jauh bezanya, cuma ia lebih menumpukan kepada penghasilan video.
Dengan FlexClip, anda boleh memotong (trim) bahagian dalam video, menambah lagu, menambah teks, merakamkan suara latar, menggabung beberapa klip video, meletakkan tanda air, mengubah nisbah ratio, menukar beberapa gambar menjadi video, memisah, zoom, dan pelbagai lagi fungsi yang menjadikan aplikasi atas talian ini unik.
FlexClip menawarkan pelbagai jenis template, dari video berkaitan makanan, animasi, bisnes, media sosial, teknologi, keluarga, muzik, dan sebagainya lagi.
Pendek kata, berbagai niche yang anda dapat fikirkan, ia pasti ada dalam senarai template.
Paparan antamuka penyunting menawarkan pratonton masa sebenar. Anda bagaikan menyunting menggunakan aplikasi biasa, cuma FlexClip ialah aplikasi di awan.
Dengan fungsi pratonton ini, anda dapat menukar pelbagai elemen yang berada di atas video, seperti teks, gambar, latar, warna, dan bermacam elemen lain. Jika anda rasakan ia terlalu panjang, potong sahaja untuk memendekkan durasinya. Anda juga boleh menukar transitions mengikut apa yang anda suka. Oh ya, anda hendak panjangkan durasi? Duplicate sahaja video itu.
Anda boleh memuat naik elemen sendiri, dan ia akan disimpan dalam storan awan FlexClip. Di bahagian kiri, terdapat beberapa jenis elemen yang dapat anda masukkan ke dalam video, contohnya lagu, gambar, latar, tanda air, dan media yang anda muat naik sendiri.
Menjadi aplikasi web juga merupakan satu kelebihan padanya, kerana dengan akaun Business, ia menawarkan storan awan sebanyak 100GB. Jika anda penyunting video yang tegar, tidak salah menyokong pembangun web ini dengan melanggan akaun Business mereka.
Tambahan lagi, dengan akaun Business, anda dapat mengeksport dan memuat turun video beresolusi 1080p, serta mendapat stock video tanpa had untuk setiap projek. Sememangnya untuk video seperti ini, tiada pilihan eksport ke resolusi 4K, tetapi bagi saya tiada masalah kerana dalam aplikasi penyunting video lain yang saya gunakan seperti Filmora, ia boleh mengeksport keseluruhan video kepada resolusi tersebut (maka video 1080p akan menjadi upscaled).
Tanpa banyak melengahkan masa anda, apa kata anda cuba sendiri di pautan ini: FlexClip.