Setelah beberapa hari menanti, akhirnya kad sim yang saya telah ambil dari pejabat GD Express telah pun diaktifkan. Perkara pertama yang ingin saya lihat ialah simbol ‘4G’ di atas status bar setelah beberapa bulan menggunakan webe yang mana hanya ‘3G’ di mana-mana.
Tapi dalam artikel ini bukan saya hendak menghentam webe, jauh sekali hendak mengeluarkan apa-apa kenyataan yang berbaur kebencian. Kerana sepanjang menggunakan webe, pada saya dengan harga RM79 + GST sikit tu, adalah amat berbaloi sekali untuk data yang tidak dikira.
Juga dalam artikel kali ini bukannya saya hendak bercerita tentang webe, sebaliknya saya hendak bercerita tentang Digi Postpaid™ 80 INFINITE, yang telah dinanti-nantikan oleh para rakan-rakan saya setelah ianya dilancarkan secara rasmi oleh Digi.
Sebelum saya berkata apa-apa, eloklah anda tonton terlebih dahulu kelajuan strim YouTube, plan 80 INFINITE ini. Tiada lagi buffering, akhirnya!
Ya benar, apa yang anda telah tonton di atas itu BENAR BELAKA. Digi telah MENIPU kita. Digi telah berjanji untuk memberikan kelajuan sekurang-kurangnya 5Mbps namun sejauh ujian yang telah saya lakukan, saya telah mendapat sebanyak 11Mbps!
Diulangi, 11Mbps!!
YA, tanpa apa-apa ‘trick’, tanpa apa-apa ekstra pun yang perlu saya lakukan.
Digi BERBOHONG nampaknya, dan untuk itu saya TERPAKSA mengucapkan terima kasih kepada mereka kerana kelajuan yang saya peroleh pada telefon bimbit murah saya ini adalah lebih dari yang telah dijanjikan! Terima kasih Digi!
Sebab-Sebab Bertukar
Anda semua tahu, anda semua sedia maklum, saya tidak pernah menggunakan internet tanpa VPN melainkan telefon panas, bateri dah nak kong, ataupun invois VPN belum dibayar. Selain semua situasi itu, saya akan sentiasa menggunakan ia – untuk apa juga aktiviti.
Namun, rangkaian webe nampaknya agak sedikit ‘cerewet’ kerana tidak menyokong sambungan kepada rangkaian VPN pilihan saya, iaitu TorGuard. Diakui sendiri oleh kakitangan webe, sememangnya mereka tidak menyokong rangkaian VPN dan apabila kelajuan menjadi unbearable, unusable, pada saya telah tibanya masa untuk bertukar.
Ternyata telahan saya tepat apabila sebaik sahaja TorGuard disambungkan kepada rangkaian Digi, kelajuan masih kekal seperti biasa.
Tak lupa juga, kelajuan tanpa menggunakan VPN pada plan Digi INFINITE ini adalah amat memuaskan hati, di mana setiap muat turun yang telah saya lakukan mendapat lebih dari 5Mbps, iaitu lebih dari yang telah diwar-warkan dalam laman web Digi.
Berikut adalah antara beberapa lagi tangkap layar yang sempat saya ambil sebagai bukti.
Selain dari kelajuan, tahukah anda, Digi kini sudah menyokong VoLTE (untuk sesetengah peranti)? Juga menyokong LTE-A? (Google sendiri untuk mengetahui mengenai dua ciri ini ya).
Baiklah. cukuplah setakat ini sahaja info yang mampu saya berikan. Cakap banyak pun tak guna juga sebab Digi dah pun tutup (mungkin buat masa ini) pelan 80 INFINITE ini. Apapun, harapnya ia dibuka semula kerana saya yakin dan pasti, selepas review INI dipos, ramai yang akan meraban sakan mahukan pelan ini dilepaskan.
Sebelum artikel ini ditutup, saya belanja sikit tangkap layar speed test.