Saintis Hong Kong Membangunkan Teknologi Imbasan Retina Untuk Mengenal Pasti Autisme Pada Kanak-Kanak
Seorang saintis dari Hong Kong telah membangunkan sebuah kaedah yang menggunakan proses pembelajaran mesin dan juga kecerdasan buatan untuk mengimbas retina pada kanak-kanak berusia enam tahun bagi mengesan autisme pada peringkat awal.
Imbasan pada retina mata dapat membantu pengesanan dan rawatan awal untuk kanak-kanak penghidap penyakit tersebut, demikian menurut pembangunnya, Profesor Benny Zee dari Universiti CIna Hong Kong.
Kaedahnya menggunakan kamera beresolusi tinggi dengan perisian komputer baru yang menganalisis kombinasi faktor termasuk lapisan serat dan saluran darah di mata.
Teknologi itu dapat digunakan untuk mengenal pasti kanak-kanak yang berisiko mengalami autisme dan memasukkan mereka ke dalam program rawatan lebih awal, kata Zee.
Teknologi ini dikatakan berjaya mengesan sehingga 95.7 peratus dari kalangan kanak-kanak yang mengidap autisme, setelah diuji pada 46 orang kanak-kanak pengidap beserta 24 orang dari kumpulan kawalan.
Penemuan Zee ini telah diterbitkan dalam jurnal perubatan EClinicalMedicine.
Pakar autisme menyambut baik penemuan Zee, tetapi menyatakan masih terdapat stigma yang besar di kalangan ibu bapa yang enggan mempercayai anak-anak mereka menghidap autisme walaupun terdapat tanda-tanda jelas.
Sumber: Reuters