Arch Linux ibarat anda memilih sendiri bawang yang ingin dibeli berbanding hanya membeli bawang yang dah siap dibungkus. Anda perlu lakukan semuanya, barulah dapat menggunakan sistem operasi itu dengan lancar.
Untuk sesetengah orang ia tampak rumit, tapi untuk para peminat tegar, ia memberi lebih ruang dalam mencorakkan sistem operasi yang diguna.
Microsoft Edge sudah lama dilepaskan untuk pengguna Linux, tetapi bagi Arch Linux, masih belum lagi terdapat pakej untuk pemasangan. Oleh kerana itu, kita perlu buat semuanya sendiri dari mula.
Tetapi caranya tidaklah sesukar mana. Apa yang anda perlukan ialah:
- Aplikasi debtap.
- Fail .deb Microsoft Edge.
Debtap ialah skrip untuk menukar format fail pemasang .deb kepada fail pakej Arch Linux. Anda boleh gunakan ia untuk memasang mana-mana aplikasi yang tidak terdapat dalam repo mahupun AUR.
Debtap boleh dimuat turun di sini: AUR – Debtap
Cara menggunakannya juga agak senang. Muat turun sahaja mana-mana fail .deb yang anda mahu, lalu tempatkan ia ke dalam folder.
Jalankan perintah ini terlebih dahulu:
$ sudo debtap -u
*Perintah ini hanya perlu dijalankan sekali sahaja. Selepas siap, perintah ini tidak diperlukan lagi. Anda boleh teruskan mengguna perintah di bawah.
Setelah itu, masuk ke dalam folder di mana anda tempatkan fail .deb, contohnya saya pasangkan Microsoft Edge Dev, yang boleh dimuat turun di sini:
Microsoft Edge Insider (Linux)
Seterusnya, anda perlu jalankan perintah ‘debtap’ diikuti dengan nama pemasang .deb yang telah anda muat turun itu, contohnya:
$ debtap microsoft-edge-dev_89.0.752.1-1_amd64.deb
Anda perlu tunggu sehingga selesainya penukaran format. Namun, ketika di beberapa bahagian, anda perlu ‘menjawab’ soalan seperti nama pakej dan lesen, contohnya seperti tangkap layar di bawah:
Saya hanya letakkan saja ‘Microsoft Edge Dev’ sebagai nama dan ‘Proprietary’ sebagai lesennya.
Kemudian, ada pula beberapa perkara yang anda perlu sunting dan buang dari senarai nama fail diperlukan oleh Micrsoft Edge. Anda akan diberikan pilihan penyunting teks yang manakah anda mahu gunakan sama ada vi, nano, dan sebagainya lagi. Saya pilih nano iaitu nombor 2 dari senarainya. Tekan saja nombor 2, dan tekan kekunci Enter.
Kemudian, buang baris yang mengandungi perkataan ‘www-browser’, dan tukar perkataan ‘libu2f-udev’ kepada ‘libu2f-host’. Simpan dengan menekan kekunci Ctrl + O, dan keluar dengan menekan kekunci Ctrl + X.
Tunggu sehingga pakej siap dibuat oleh debtap.
Kemudian apabila telah selesai proses penukaran format, jalankan perintah ini:
$ sudo pacman -U microsoft-edge-dev-...–-x86_64.pkg.tar.zst
*Gantikan tanda * dengan versi Microsoft Edge yang telah anda muat turun itu.
Selesai. Microsoft Edge sudah pun siap dipasang dalam Arch Linux anda. :)