Semasa musim Perintah Kawalan Pergerakan ini, salah satu aplikasi yang menjadi tumpuan ialah aplikasi pembelajaran bahasa. Antara yang sering dimuat turun semestinya Duolingo.
Duolingo sudah lama popular di kalangan para pencinta bahasa. Tetapi sejauhmanakah keberkesanan aplikasi ini dalam mengajarkan bahasa asing kepada penggunanya?
Saya mencuba aplikasi ini selama beberapa minggu bagi mempelajari (kembali) bahasa Arab, dan ini adalah pendapat saya mengenai Duolingo.
Kaedah Pengajaran
Apa yang membezakan antara Duolingo dengan aplikasi pembelajaran bahasa yang lain? Duolingo menggunakan algoritma pengulangan (repetitions algorithm), flash cards, dan ayat-ayat contoh beserta pilihan terjemahan.
Terus kepada soalannya, berkesankah kaedah ini?
Saya telah mencuba kembali aplikasi ini (pasang semula, kerana dulu pernah dipasang, tetapi tidak serius nak belajar maka nyahpasang pula) dan belajar bahasa Arab semula selama beberapa minggu (dulu pernah belajar di sekolah agama selama lima tahun). Saya anggap proses pembelajaran di Duolingo ini adalah ‘refresh’ untuk ingatan saya yang sememangnya telah lama lupa kerana begitu lamanya saya meninggalkan sekolah dan bahasa Arab ini.
Disebabkan saya mempunyai asasnya, maka sekejap sajalah saya sudah pun hampir menghabiskan ‘kursus’ atau modul Duolingo bagi pelajaran bahasa Arab serta kaedah sebutannya.
Dari pengamatan saya, Duolingo lebih banyak menggunakan pengulangan bagi mengukuhkan tapak atau asas seseorang dalam pengenalannya terhadap bahasa asing yang dipilih. Adakah sama kukuhnya dengan mereka yang belajar di sekolah? Adakah inputnya boleh setanding dengan mereka yang mengenali huruf dan tatabahasa melalui guru?
Pada saya mungkin mereka yang belajar melalui Duolingo tidak mampu menamakan fi’il, atau mengenali perbezaan, kenapa sebutannya ditambah huruf kaf, atau huruf ta, tetapi apabila diteliti perlahan-lahan, mereka tetap akan boleh mengetahui apabila subjeknya lelaki, perbuatan akan ditambah huruf dan baris sekian-sekian, dan apabila perempuan pula, akan ditukar kepada huruf dan baris sekian-sekian.
Fasihkah Pengguna Duolingo?
Saya tidak berani mengatakan seseorang itu akan menjadi fasih dalam sesuatu bahasa asing yang dipilih setelah belajar melalui Duolingo. Tetapi, terdapat pengguna yang fasih berbahasa Jerman, hanya dengan menggunakan aplikasi ini. Anda boleh cuba ikuti tips dan panduan beliau melalui video di bawah.
Apa yang pasti, dari pengamatan saya setelah mencubanya untuk belajar bahasa Arab, Perancis dan Mandarin, saya boleh katakan Duolingo mampu memberikan tapak atau asas yang kukuh kepada anda jika anda komited dalam ‘menjayakan’ penggunaannya setiap hari.
Anda tidak boleh malas dan bertangguh-tangguh.
Anda juga mesti rajin menulis nota tentang apa yang anda faham melalui pelajaran pada sesi tersebut, dan paling penting sekali, jangan tergesa-gesa serta terburu-buru dalam menyelesaikan proses pembelajaran anda. Sekurang-kurangnya tukarkan status setiap pelajaran kepada emas, supaya anda boleh berasa pasti bahawa asas dalam setiap modul telah anda mahiri.
Akhir kata, apa jua yang dibuat dengan kesungguhan, pasti akan membuahkan hasil. Tiada perkara yang akan membuang masa anda, sekiranya anda sendiri memanfaatkannya dengan cara yang betul. Asalkan bahasa yang anda pilih itu sebenar-benarnya bahasa yang anda minati, saya pasti jika tidak fasih sekalipun, anda boleh menuturkan beberapa patah perkataan yang difahami oleh penutur aslinya.
Jika anda berminat nak cuba, bolehlah klik pautan ini: .