Buat masa ini saya masih buat dual boot Windows 10 bersama dengan Arch Linux. Kombinasi keduanya dirasakan agak ‘goyah’ dan ‘goyang’ dek kerana setiap kemas kini Windows 10 kadang-kadang menyebabkan ketidakstabilan pada sistem, begitu juga dengan Arch Linux.
Namun keduanya memberikan saya satu kepuasan tersendiri. Disebabkan itu saya pilih untuk kekalkan kombinasi ini.
Memilih distro Linux memang bukan sesuatu yang mudah terutamanya buat pemula, kerana terdapat beribu distro di ‘luar’ sana.
Dengan pelbagai nama dan ciri, Linux menjadi sistem operasi yang tiada ‘berpusat’, seperti Windows dan MacOS. Oleh itu, kepelbagaian pilihan menyebabkan kadang kala terasa sukar untuk ‘settle down’ dengan satu distro.
Atas sebab itu juga wujud istilah ‘distro hopper’, kerana mudahnya untuk beralih kepada distro lain. Ianya percuma, dan boleh dimuat turun bila-bila masa sahaja.
Terdapat inisiatif dari individu tertentu untuk memudahkan para pemula memilih distro Linux yang sesuai dengan kehendak diri sendiri.
Salah satunya ialah Librehunt.
Laman ini telah dibina oleh Avi Wadhwa, yang mana beliau telah membinanya setelah salah seorang rakan sekelas melihat sistem operasi Linux yang digunakan olehnya pada laptop.
Setelah menerangkan kepada rakan tersebut apa itu Linux, dengan cepat dia ingin untuk menggunakannya, akan tetapi tidak dapat membuat keputusan mana satu distro yang hendak dipasang.
Maka terciptalah Librehunt.
Apabila anda buka laman ini, ia hanya memaparkan segala informasi ringkas tentang Linux serta sumber terbuka. Di hujung penerangan, anda akan diberikan beberapa soalan mudah, yang mana pada akhirnya ia memberikan senarai nama distro yang sesuai mengikut jawapan anda itu.
Ini adalah contoh distro-distro yang saya dapat hasil dari jawapan saya.
Tergerak hati untuk mencuba? Anda boleh mula memilih sekarang di Librehunt.