Permainan Augmented Reality bukan benda baru. Ianya telah diperkenalkan oleh beberapa syarikat seperti Nerf dengan AR Lazer Tag.
Tahun ini nampaknya Merge cuba memperkenalkan produk baharu mereka seakan Nerf, yang diberi nama 6DoF Blaster oleh Merge.
Nota: Apa Itu Augmented Reality?
Augmented Reality atau dalam Bahasa Melayunya, Realiti Tertambah/Realiti yang Ditambah – adalah sejenis kesan visual yang dihasilkan oleh komputer di mana objek visual janaan komputer akan di tambah pada pemandangan dunia sebenar yang kelihatan di skrin paparan.
Hasilnya pengguna yang memandang dunia sebenar melalui skrin komputer akan mendapati seolah-olah wujud berbagai objek lain lagi selain dari realiti sedia ada.
Augmented Reality adalah berbeza dengan Virtual Reality. Virtual Reality mencipta satu persekitaran baru yang tiada kaitan dengan dunia sebenar. Sebaliknya, Augmented Reality memaparkan persekitaran yang diambil dari dunia sebenar dan ditambahkan di atasnya.
6DoF Blaster: Penambahbaikan Kepada Produk Sebelumnya
Kembali kita kepada produk di atas, 6DoF bermaksud ‘six degrees of freedom’, yang merujuk kepada kebebasan pergerakan tubuh badan atau objek dalam ruang tiga dimensi.
Ia tidak memerlukan headset VR, tetapi hanya menggunakan telefon pintar pemain untuk memberikan pengalaman AR bebas headset.
Di atas 6DoF Blaster tersebut tersedia satu slot untuk memasukkan telefon yang menjadi ‘viewfinder’ kepada pemain.
Setakat ini masih tiada lagi harga rasmi yang diwar-warkan oleh Merge. Syarikat tersebut meletakkan sasaran musim panas tahun ini untuk melancarkan produk mereka kepada pengguna.