Banyak sungguh permintaan untuk artikel ini. Tergerak juga hati untuk menulis tentangnya, kerana di tahun 2019 ini, masih ada lagi yang bertanya,
“Nak beli Android Box, kena beli yang mahal ke?”
Android Box menjadi popular di kalangan rakyat Malaysia sebagai media alternatif selain televisyen ‘tradisional’. Bab ‘menggantikan’ Astro itu saya tidak mahu sentuh kerana apabila difikirkan semula, mereka yang menggunakan Android Box untuk mengganti Astro tetapi dalam masa yang sama memasang aplikasi yang dapat ‘strim’ saluran Astro secara ‘alternatif’, adalah agak kelakar.
Errr, ya. Saya pun dulu ada juga buat begitu (heh!). Cuma sekarang masa saya banyak dihabiskan di YouTube dan Netflix. Entah kenapa, saluran televisyen sudah tidak menggiurkan hati saya lagi.
Saya faham tujuannya, apabila pengguna ingin mendapatkan saluran penuh tanpa perlu membayar bulanan yang cukup tinggi. Tetapi perkara ini saya sudah sentuh dalam artikel yang lepas: Hidup Tanpa Astro Edisi 2018: Cara Terbaik Bebas Dari Bil Melampau [#CutTheCord]
Berbalik kepada topik, adakah perlu beli Android Box yang mahal untuk menikmati prestasinya? Jawapan mudah, tidak, kerana dengan bajet sekitar RM250 hingga RM300, anda sudah dapat sebuah peranti yang bagus untuk strim kandungan media atas talian dengan baik.
Berikut adalah 12 spesifikasi yang boleh anda ikuti sebagai panduan dalam memilih peranti:
1. OTA Update
Sebelum beli, pastikan terlebih dahulu peranti yang anda minati itu ada menyokong Over-The-Air Update atau OTA. Sokongan sepenuhnya dari pembangun yang memberikan kemas kini melalui OTA adalah penting bagi memanjangkan jangka hayat produk. Paling tidak sekurang-kurangnya ada disediakan firmware di laman sesawang mereka untuk dimuat turun.
2. Widevine L1
Persijilan Level 1 atau L1 diperlukan oleh peranti bagi membolehkan ia untuk strim kandungan dari laman penstriman seperti Netflix dalam kualiti tinggi penuh (HD) dan 4K. Widevine adalah satu bentuk penyelesaian kepada kandungan daripada dijadikan bentuk cetak rompak. Oleh itu, sila periksa terlebih dahulu sama ada peranti tersebut mempunyai Widevine L1 atau tidak.
3. Sokongan pengekodan perkakas H.265
H.265 atau nama ‘panjangnya’ High-Efficiency Video Encoding (HEVC) ialah sebuah standard pemadatan video. Kebanyak peranti yang dapat menjalankan Kodi mempunyai pengekodan H.265, cuma kebiasaannya ia adalah dalam bentuk perisian, dan bukan perkakasan.
Secara umumnya, pengekodan dalam bentuk perkakasan adalah lebih pantas berbanding perisian.
4. RAM?
Android Box dikuasakan dengan sistem operasi Android yang dicipta khusus untuk peranti penstriman. Sistem operasi Android pada masa kini sudah kurang menggunakan RAM, apatah lagi apabila ia dibuat secara khusus untuk Android Box. Peranti dengan RAM antara 2 hingga 3GB RAM sebenarnya sudah mencukupi, namun kebanyakan orang akan mensasarkan peranti dengan 4GB RAM.
Terpulang kepada anda, saranan saya RAM 4GB adalah satu pelaburan ‘future-proof’.
5. Storan?
Ini juga sering menjadi mitos di mana ramai yang menyarankan storan lebih dari 32GB. Storan antara 16 hingga 32GB adalah mencukupi, melainkan anda hendak pasang beratus aplikasi, yang saya kirakan sudah benar-benar membebani peranti tersebut. Sedangkan aplikasi penstriman yang hendak dijalankan tidaklah memenuhi kesemua ruang storan.
Kenapa, anda hendak gunakan Android Box sebagai penyunting gambar pula ke?
Sekali lagi, terpulang. Tiada kerugian pun jika anda berjaya mendapatkan peranti dengan lebih storan.
6. Sokongan Netflix Dan Lain-Lain Aplikasi Strim
Sila pastikan peranti tersebut menyokong Netflix, Hulu, dan lain-lain aplikasi penstriman. Ini penting, kerana terdapat kes di mana aplikasi Netflix yang dipasang dari kilang adalah versi diubahsuai, dan apabila terdapat kemas kini bagi aplikasi tersebut, ianya sudah tidak dapat digunakan lagi.
7. Mempunyai Dynamic Refresh Rate Switching
Dynamic Refresh Rate Switching ialah fungsi di mana peranti akan mengubah refresh rate secara automatik antara sumber video dan juga televisyen. Oleh itu katakan sumber video anda adalah 24Hz manakala televisyen anda pula 60Hz, ia akan menyelaraskan refresh rate itu secara automatik, jadi anda akan dapat menonton dengan baik tanpa video yang ‘berbelang’.
8. WiFi
Pastikan sekurang-kurangnya ia mempunyai 802.11 ac. Apa-apa sahaja yang kurang dari ini akan menjadikan kelajuan internet anda perlahan.
Nota kaki: Gunakan Router Android Box Yang Menyokong Dual-Band
Dual-band router mempunyai dua penyesuai radio tanpa wayar iaitu 2.4GHz dan 5GHz. Kebanyakan darinya dapat menghantar kedua-dua frekuensi pada masa yang sama.
Selain penting untuk memilih peranti tanpa wayar yang ‘kuat’, ia seharusnya ‘pintar’ juga.
Frekuensi 2.4GHz dan 5GHz akan melantun di sekitar rumah anda dengan cara dan kekuatan yang berbeza. Frekuensi 5GHz adakah kuat dan dapat membawa lebih banyak data serta lebih pantas dari 2.4GHz, akan tetapi ia tidak dapat melalui dinding bilik anda dan lain-lain objek pepejal dengan baik.
Router dual-band dapat membantu untuk mengimbangi rangkaian yang berada dalam keadaan penggunaan tinggi dengan memindahkan frekuensinya.
Oleh itu menggunakan Android yang menyokong ciri ini semestinya akan membantu kelancaran ketika anda sedang strim rancangan kegemaran.
9. Android Versi 6 Ke Atas
Android Marshmallow (6.0) mempunyai banyak kelebihan berbanding versi sebelumnya. Versi 6 (ke atas) mempunyai prestasi yang sangat bagus atas jasa Android RunTime (ART) yang baharu.
Ia juga punyai kesinambungan Material Design yang semestinya lebih menarik, dan ada sokongan untuk OpenGL ES 3.1 bagi penampilan grafik 3D dan 2D yang lebih baik.
Saranan saya bagi ‘future proof’, dapatkan Android Box dengan sistem operasi Android versi sama ada 6 atau 7, dan 8 semestinya lebih baik.
10. HDMI 2.0
HDMI 2.0 telah lama dilepaskan iaitu pada tahun 2013 dan ia mempunyai satu bentuk penambahbaikan berbanding versi 1.4 iaitu bandwidth.
Secara teorinya, HDMI 1.4 tetap dapat menjalankan penstriman video 4K, akan tetapi ia sudah berada pada had teknologi tersebut. HDMI 2.0 telah meningkatkan kapasiti teknologinya kepada 18Gb per saat, yang lebih dari cukup untuk menjalankan 4K pada 60fps.
11. USB 3.0
USB 3.0 seakan bukan satu keperluan wajib bagi Android Box. Tetapi katakanlah anda ingin menyambung kepada storan luaran untuk memainkan video anda darinya, maka anda perlukan sekurang-kurangnya satu port USB 3.0.
USB 2.0 tetap dapat menjalankan tugasnya, tetapi dengan kelajuan yang lebih perlahan, semestinya, dan ia akan memberi kesan kepada kualiti video.
12. CPU
Terdapat tiga syarikat utama yang mengeluarkan pemproses bagi Android Box iaitu AmLogic, RockChip dan Allwinner.
Abaikan dua yang lain, pilihlah peranti dengan pemproses AmLogic.
Pendek cerita, Allwinner dan RockChip ada rekod trek masing-masing yang menghampakan. Anda boleh ambil risiko dengan membeli mana-mana peranti yang dikuasakan dengan salah satu dari pemproses tersebut, tetapi jangan katakan kepada saya bahawa saya tidak pernah memberi peringatan.
*Melainkan peranti yang menggunakan pemproses RockChip atau Allwinner tersebut ada sokongan komuniti forum yang kuat, belilah ia. Jika tiada, kekal dengan AmLogic sahaja.
13. Peranti dengan Kelulusan SKMM
Semakin banyak peranti Android Box membanjiri pasaran. Sampaikan tak tahu nak pilih yang mana. Cara yang paling mudah untuk membeli android box yang berkualiti adalah dengan membeli android box dengan kelulusan SKMM/MCMC. Ini kerana, peranti dengan kelulusan SKMM ini akan ditapis dan diuji dahulu sama ada sesuai atau tidak untuk digunakan di Malaysia. Lebih khusus, peranti ini akan diuji sama ada boleh menerima dan mengganggu gelombang telekomunikasi yang digunakan di Malaysia.
Selain itu, jenama yang menghantar peranti mereka untuk kelulusan SKMM sudah tentulah jenama dari syarikat yang kukuh dan rasmi di Malaysia. Oleh itu, kita boleh dapatkan lebih keyakinan yang peranti mereka lebih selamat daripada ancaman malware serta memiliki perkhidmatan waranti rasmi di Malaysia.
Outro
Baiklah, setakat itu sahaja panduan untuk kali ini. Diharap anda dapat menekan butang share yang tersedia di atas ini dan kongsikanlah panduan yang diberikan kepada rakan-rakan anda.
Selamat memilih dan selamat menikmati hasil dari kempen saya, #CutTheCable!