Intro
Tertulisnya artikel ini adalah kerana saya rakyat biasa. Tiada kuasa. Tiada saluran televisyen, tiada majalah dan tiada surat khabar. Apa yang saya ada selaku seorang rakyat biasa adalah ini, yang sedang anda tatap ini, iaitu blog yang juga blog biasa-biasa. Akan tetapi artikel kali ini saya ingin hamburkan segala perasaan saya yang luar biasa akibat sudah tidak tahan lagi dengan cengkaman kapitalis-kapitalis di negara yang tercinta ini.
Tajuk artikel saya, saya seolah tujukan khas untuk Celcom. Tetapi percayalah, sistem PPU akan memusnahkan kesemua Telco yang ada di Malaysia. Kerana apa? Kerana rakyat Malaysia bukan sahaja sudah semakin bijak, malahan sudah semakin genius dan terkehadapan dalam semua bab serta bidang. Ini termasuklah dalam bab pemilihan pelan internet mobil.
Saya sangat-sangat kasihankan adik-adik saya, adik-adik anda yang berada di Universiti-Universiti, pelajar yang sangat memerlukan internet untuk menyiapkan tesis, bahkan makcik-makcik tidak bersalah yang tidak begitu ‘IT Geek’ seperti anda, tahu-tahu saja kredit sudah lesap ditelan oleh sang Telco yang rakus melenyapkan wang saku. BETUL ATAU TIDAK apa yang saya sampaikan ini?
Tapi percayalah, ia tidak lama. Jika perkara ini berterusan, wahai orang-orang besar Telco terutamanya Celcom, kami akan beralih dan mencari Telco lain yang tidak begitu melampaui batas, yang sekurang-kurangnya tiada Pay-Per-Use a.k.a PPU.
Anda mahu begitu?
Usul dan Cadangan
Sepanjang pengalaman saya menjual kad sim, apa yang saya perhatikan rakyat Malaysia begitu mengambil berat akan 3 perkara dalam pelan internet iaitu:
1. Kuota
2. Kelajuan
3. Harga
Kalau selaku Telco yang menguasai pelan-pelan internet, anda begitu berat sekali untuk memberikan kelajuan 4G Tanpa Had (Unlimited), saya memohon dengan penuh rasa hormat, cuba pertimbangkan cadangan saya ini iaitu:
Katakan anda buat satu pelan baharu, dengan kelajuan sebanyak
10Mbps – RM30
20Mbps – RM40
30Mbps – RM50
Soalan saya sekarang, ADAKAH PERMINTAAN SAYA KETERLALUAN?
Dengan syarat kesemua pelan di atas tidak mempunyai KUOTA. Bererti Telco menjual pelan internet berasaskan KELAJUAN, dan bukan kuota. Diulangi, tanpa kuota, tanpa had muat turun, juga TANPA KELAJUAN yang DIPERLAHANKAN.
Ini adalah kerana tidak guna diberi kelajuan sehingga 1 juta Mbps sekalipun tetapi kuota ‘ciput’ a.k.a kedekut. Tidak sepatutnya kami selaku rakyat Malaysia yang sudah terlalu banyak membayar untuk itu dan ini dicaj dengan bayaran yang agak keterlaluan bagi saya. Kad sim pelan ini, adalah ibarat kad sim internet ‘fiber’ tetapi dalam versi mudah alih.
Baca dan hafalkan perkataan keramat ini:
Unlimited Quota
Unlimited Quota
Unlimited Quota
Percayalah, sekiranya ada Telco yang berani mengasaskan penjualan pelan internet berasaskan kelajuan (speed) dan bukannya KUOTA, saya yakin dan pasti Telco tersebut akan dapat membuat untung berlipat kali ganda dari pelan-pelan yang disertakan dengan kuota. Diulangi, Telco tersebut akan membuat keuntungan berbillion-billion dari hasil jualan kad sim seperti ini.
Penutup
Sesungguhnya saya hanyalah rakyat biasa yang mahukan keadilan untuk semua marhaen yang lain. Saya pernah merasa menjadi pelajar yang tidak begitu banyak wang saku, serta memerlukan internet yang jitu, serta sentiasa ‘boleh diharapkan’.
Saya juga faham perasaan mereka yang begitu kecewa dengan sistem kuota, ditambah pula dengan sistem PPU. Terasa seakan begitu ‘mencekik’ diri ini. Kalau ada pilihan lain yang lebih baik, kami semua akan beralih.
Saya percaya rakyat Malaysia sudah semakin pintar dan bijak dalam memilih sesuatu. Jangan jadikan kami tempat untuk anda meraih keuntungan melalui cara yang tidak patut.
Sistem PPU adalah suatu sumpahan yang patut dihapuskan!
Mohon, agar jangan memperbodoh-bodohkan kami.
Untuk penutup ini saya sajian anda dengan sebuah infografik yang saya peroleh dari laman Store-3. Terima kasih kerana sudi membaca. Saya berharap tahun 2015 adalah tahun kegemilangan Telco-Telco di Malaysia. Oh ya, kalau anda selaku pembaca ada idea yang lebih baik dari ini mohon agar diutarakan pendapat anda pada ruang komen.