
Saya baru menonton filem Blood Brothers: Bara Naga di pawagam malam semalam.
Ada begitu banyak buah fikiran ingin saya utarakan, tetapi rasanya majoriti penonton lain pun dapat merasakan benda yang sama iaitu – filem ini meskipun berkisar tentang sebuah persatuan mafia yang bergerak di belakang syarikat pengawal keselamatan, dan dari ‘luar’ nampak seakan filem-filem gangster seperti kebiasaan yang ada, namun ia bernadikan sesuatu yang berbeza.
Roh filem Blood Brothers: Bara Naga tidak terletak pada jalan cerita mahupun plot twist yang ada, kerana pada saya jalan ceritanya biasa saja. Mengisahkan tentang 7 Naga atau 7 orang ‘kepala’ dalam kumpulan mafia tempatan yang mempunyai seorang ketua iaitu Dato Zul.
Dalam kumpulan diketuai oleh Dato Zul (Wan Hanafi Su) pula, ia mempunyai seorang ‘orang harapan’ yang dipercayai iaitu Ghaz (Sharnaaz Ahmad), dan Ghaz berkawan rapat dengan Ariff (Syafiq Kyle).
Roh filem ini pada saya sebenarnya banyak terletak kepada bagaimana kebanyakan orang yang menonton akan terkejut dengan mutu lakonan ditampilkan oleh barisan pelakon dipilih, terutamanya dari Shukri Yahaya (sebagai Fadlan) dan Shah Reza Mohd Shah (sebagai Dato Sam). Anda kena tonton sendiri untuk faham apa yang saya cuba sampaikan (tanpa spoiler).
Tidak lupa juga mutu koreografi babak tempur yang tidak lagi banyak menggunakan ‘shaky camera’ sebagai teraju hanya kerana pelakonnya tidak pandai seni bela diri seperti ‘dulu-dulu’ *uhuk*KLGangster*uhuk*.
Pergerakan kamera yang lebih mempunyai ‘maksud dan arah tuju’ dalam setiap babak tempur antara kumpulan mahupun individu adalah amat dihargai, kerana kali ini ia mampu menjadi satu penanda aras kepada mana-mana filem aksi yang akan dikeluarkan pada masa akan datang.
Saya lebih suka jika kameranya lebih ‘steady’, sama seperti filem-filem Jacky Chan, mahupun filem seperti The Raid: Redemption arahan Gareth Evans. Filem-filem kedua pengarah ini meskipun telah bertahun lamanya ditayangkan, ia masih menjadi topik perbincangan hingga ke hari ini kerana babak aksi yang begitu menggerunkan.

Babak letupan-letupan juga seringkali menjadi penyeri dalam filem-filem Syafiq Yusof, dan filem ini adalah tidak terkecuali. Tidak pasti berapa juta telah dihabiskan oleh Syafiq untuk meletupkan pelbagai benda, dan membakar bermacam jenis kereta, serta menembak kereta-kereta mahal, tetapi yang pasti semuanya memberi satu kepuasan kepada mereka yang menonton.
Kalau bukan kita yang nak menghargai usaha Syafiq untuk meningkatkan kualiti filemnya, siapa lagi? Mungkin untuk filem luar, ianya telah lama menjadi satu kebiasaan. Maklum saja, modal mereka jauh lebih besar. Namun, untuk filem tempatan, inilah dia pemulanya – kepada sesuatu yang jauh lebih luar biasa lagi di masa yang mendatang.

Apa pun, secara konklusinya saya syorkan anda semua tontonlah filem Blood Brothers: Bara Naga ini di panggung. Kepuasannya lebih jauh dan mendalam berbanding harga tiket dilaburkan (atau dileburkan? Terpulang pada pengertian dan kedalaman poket masing-masing).
Saya cuma mampu berharap, jika ada filem sekuelnya nanti, Syafiq jemputlah kami untuk tayangan ya. Terima kasih daun keladi.