AMP Ads
Mobile Ads
Home Ulasan Produk dan Gajet Tripowin TC-01: IEM Dengan Kualiti Bunyi Premium

Tripowin TC-01: IEM Dengan Kualiti Bunyi Premium

0
Mobile Ads

 

Saya baru berkenalan dengan jenama ini setelah diperkenalkan oleh sahabat dan juga admin di omghackers.com. Sebelum ini, saya hanya menggunakan IEM dari China yang bolehlah dikatakan separa premium, dan kategori bajet.

Antara yang pernah saya sendiri masukkan ulasan di sini ialah TINHiFi T1 Plus dan TINHiFi T2 Plus. Manakala model yang saya tidak terasa hendak tulis ialah Blon-03, dek kerana kualiti bunyinya yang menghampakan.

Tetapi sebaik telinga saya memasukkan kedua belah pemacu TC-01 dengan kemas, dan lagu mula dimainkan, saya terpukau lalu terpikat dengan TC-01 ini. Sukar untuk digambarkan dengan kata-kata. Kualiti bunyinya melangkau jangkaan. Apa pun, sebelum jauh kita ke depan, ada eloknya kita lihat dulu kandungan dalam kotak.

Spesifikasi Tripowin TC-01

HargaLingkungan RM225 (dari China) hingga RM539 (penjual tempatan)
Galangan16 Ohms
Kadar Kepekaan104db SPL/mW
Jarak Frekuensi20Hz-20kHz
Pengasingan Bunyi BisingPasif, 26db
Sambungan0.78mm, 2 pin
Jenis Plug3.5mm, palam lurus bersadur emas
Berat9gm setiap satu
Panjang Kabel 1.2m, boleh tanggal

Tanggapan Awal

‘Shell’ Tripowin TC-01 diperbuat daripada besi, lalu menjadikan hasil akhirnya kelihatan dan juga terasa premium. Profil audio/bunyi IEM ini ialah v-shaped, tetapi tidak sama seperti IEM China yang lain apabila ia ditala dengan begitu baik sekali.

Anda boleh lihat graf dari laman In-Ear Fidelity ini:

Pertama kali membawanya keluar dari kotak, saya melihat TC-01 bersinar dan berkilau. Bila diteliti, jelaslah kerana ‘finishing’ dari tampilan chrome yang menyerlahkan reka bentuk yang nampak seakan mahal.

Bila dibuka satu lagi kotak kecil, di dalamnya ada disertakan silikon telinga bersaiz kecil, sederhana, dan besar. Sayang sekali itu sahaja yang ada. Tidak banyak silikon sandaran disertakan sekali. Saya terus memasukkan saiz besar ke dalam pemacu untuk digunakan bersama.

Kualiti Audio

Saya yakin, ramai golongan peminat kualiti bunyi atau audiophile tidak suka membaca artikel yang terlalu panjang. Sama dengan saya, saya kurang gemar menonton ulasan di YouTube yang terlalu meleret. Disebabkan itu, saya lebih suka terus kepada apa yang ingin saya nyatakan.

Terus terang, IEM yang saya gunakan sebelum ini sudah pun tersimpan rapi dalam laci almari. TC-01 mengambil tempat untuk memainkan lagu di rumah, manakala Tronsmart Apollo Bold pula apabila saya ingin mendengar lagu ketika keluar pergi bekerja atau bersiar-siar.

Dengan dipadukan bersama DAC, TC-01 tidak menghampakan sama sekali. Pun begitu, meski tanpa sebarang DAC sekalipun, audio terhasil masih menyerlah tanpa perlu talaan rapi equalizer.

Saya mendengar senarai lagu ujian seperti biasa, dari lagu cinta tahun 90an hinggalah kepada lagu-lagu metal pilihan.

Tripowin nyata berjaya menala pemacunya untuk mengeluarkan bunyi yang berkadar sesedap rasa, tidak terlalu nyaring seperti Blon-03, dan tidak terlalu menghentak dengan bass sehingga mendap bunyi yang lain. Berikut ialah senarai-senarai main yang saya gunakan untuk ujian audio.

Dari pelbagai jenis genre lagu, hinggalah kepada pelbagai jenis audio, boleh dikatakan TC-01 ini merupakan sejenis IEM yang pelbagai atau versatil. Saya peminat lagu-lagu keras, oleh itu talaan untuk treble amatlah penting.

Panggung suara atau soundstage terasa agak luas, manakala kadar kejelasan (clarity) begitu jitu.

Bass

Saya tidak rasa bass untuk IEM ini berlebihan, dan untuk basshead pula jika anda ingin melayani bunyi bass sehingga otak bergegar, anda perlu tingkatkan lagi frekuensi ini dalam equalizer. Untuk diri saya sendiri, bassnya adalah mencukupi, tidak nipis sehingga menimbulkan rasa marah kerana ‘tidak puas’.

Sub-bass dapat didengari memenuhi ruangan lagu apabila menguji senarai main lagu-lagu dalam BASS TESTER dan JBL Bass Test. Tetapi antara album artis kegemaran saya ialah GAWNE – Wings, tidak pernah menghampakan untuk tujuan ujian. Dengan sedikit talaan sendiri, hentakan atau ‘punch’ dapat dirasakan.

Lagu 708 oleh Luke Gawne memuaskan halwa telinga saya dari sudut bass hingga ke vokal. Tidak dinafikan saya mengulang lagu ini hingga gegendang berdengung.

Mid

Apabila mendengar lagu Misty dan Journey oleh Cromok, saya seringkali tercari-cari bunyi ‘misteri’ yang seringkali saya dengar sewaktu kecil dulu. Bunyi ini hanya dapat didengari apabila menggunakan kaset atau CD beserta set earphone mahal yang dihadiahkan oleh saudara saya pada waktu itu.

Ternyata TC-01 berjaya menonjol dan mengeluarkan bunyi yang saya harap akan kedengaran. Walau ‘lapisan’ instrumen yang ada mungkin hanyalah gitar dan drum, tetapi saya yakin ada elemen lain dimasukkan. Itulah dia Cromok, tak pernah mengeluarkan lagu yang tidak misteri.

Lagu Journey ialah trek yang paling sesuai untuk mendengar kebolehan TC-01 dalam ‘menajamkan’ bunyi pertengahan, tanpa berlakunya mendapan.

Treble

Saya berani untuk katakan talaan bagi treble dibuat dengan baik. Selalunya profil v-shaped mencacatkan bahagian ini sehingga bunyi kedengaran runcing dan meletihkan telinga, tetapi tidak dengan TC-01.

Saya mendapati lagu Enough, juga oleh Cromok, lebih mantap dari biasa. Seperti yang kita ketahui, Cromok ialah band thrash metal, atau ‘metal Melayu’ seperti diterangkan oleh ahli kumpulan mereka dan vokal pula dilontarkan dengan cara ‘growl’ oleh Sam.

Lagu Enough agak mencabar untuk mana-mana gajet audio sekalipun kerana jika talaan tidak seimbang, vokal boleh tenggelam, manakala bunyi gitar akan semakin runcing. TC-01 dapat mengeluarkan bunyi seperti dikehendaki oleh para pemuzik tersebut.

TC-01 mempunyai tempatnya yang tersendiri. Peminat IEM harus memilikinya kerana muzik ialah satu bentuk bahasa global yang mesti difahami oleh semua. Seperti yang saya katakan dulu, selera telinga setiap orang tidak sama, tetapi jika produk itu berkualiti, maka standardnya akan menjadi universal.

Setakat ini untuk penjual tempatan, saya menemui harga sehingga RM400-500+ untuk TC-01, manakala penjual dari China pula dari RM225 ke atas. Sekiranya ia menepati bajet, dapatkan IEM ini kerana ia masih akan relevan lagi untuk beberapa waktu yang lama!

Untuk mudah, anda boleh beli melalui laman web mereka di: Linsoul Audio.

Mobile Ads

Apa pendapat anda?Cancel reply

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
wpDiscuz
0
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x
Exit mobile version