AMP Ads
Mobile Ads
Home Pilihan OMG Artikel Review Filem Sunti @Facebook

Review Filem Sunti @Facebook

0
Mobile Ads
Sewaktu kaki saya menjejak langkah masuk ke dewan panggung wayang itu, saya sangkakan saya tersalah masuk, kerana boleh dikatakan tiada penonton pun di situ. Pada saya trailer filem ini bolehlah dikatakan agak baik dan seakan menjanjikan ‘sesuatu’. Tidak mengapalah, mungkin inilah hakikatnya, orang kita dah hilang keyakinan untuk menonton filem Melayu (walau pada hakikatnya pengarah filem ini adalah James Lee).

Antara sebab saya menguatkan kaki untuk menonton Sunti @Facebook ini adalah kerana saya pernah menonton sebuah filem yang lebih kurang sama judulnya iaitu Setan Facebook, sebuah filem dari Indonesia. Filem tersebut benar-benar berjaya menonjolkan ciri-ciri ‘hantu’ yang ‘wujud’ dalam dunia siber. Dek kerana itu saya beranggapan filem Sunti @Facebook mungkin cuba untuk tonjolkan dalam versi Malaysia pula.

Cerita bermula dengan watak Ashiq serta rakan-rakan baiknya iaitu PY, Adan dan Gel, yang membawakan watak remaja-remaja nakal tipikal. Mereka mempunyai akaun Facebook yang bertujuan untuk mempertontonkan kerja-kerja nakal mereka mengusik gadis-gadis di kolej, sehinggalah seorang dari mangsa usikan bertindak cuba untuk membunuh diri. Dari situ berlaku pula kes pembunuhan yang melibatkan rakan-rakan Ashiq.

Watak dikembangkan dengan baik, dari satu konflik beralih ke satu konflik. Namun… di sinilah kritikan saya bermula.

1. Muzik atau bunyi yang digunakan dalam filem ini untuk menaikkan saspen atau seram adalah gagal. Filem dirasakan perlahan serta (maaf cakap) membosankan.

2. Watak yang berjaya ditonjolkan dengan baik hanyalah watak Gel yang dibawakan oleh Anas Mentor. Hanya watak beliau sahaja yang dirasakan sangat baik dan menjadikan filem tersebut ‘ceria’ dengan penampilannya yang menjanjikan bahan untuk ketawa.

3. Watak ‘hantu’ atau wanita misteri bernama Sunti Lara adalah mengelirukan. Tak pasti sama ada beliau adalah hantu atau manusia. Sampai sekarang tidur saya tak lena memikirkannya.

4. James Lee sememangnya bukan berbangsa Melayu. Tetapi itu tidak bermaksud beliau boleh merapu dengan ilmu-ilmu perbomohan. Saya sendiri pun tak faham ilmu apa yang digunakan oleh Sunti dan untuk apa. Kalau ada yang faham tolonglah sampaikan.

5. Filem ini ingin menunjukkan bahawa kes buli adalah satu kesalahan jenayah, dan juga ingin menunjukkan taraf pemikiran anak muda kita pada zaman sekarang. Itu adalah bagus. Tetapi saya sarankan kepada beliau tolong tonton filem Table No. 21. Filem ini adalah lebih bagus dari filem hantu yang merapu.

Saya mungkin silap kerana meletakkan harapan yang tinggi kepada filem ini dek kerana 2 filem yang telah saya sebutkan di atas iaitu Setan Facebook dan Table No. 21. Tetapi pada saya kalau James Lee memberikan sedikit lebih tumpuan beliau kepada butiran-butiran watak, muzik yang digunakan serta jalan cerita yang lebih teliti (contohnya ilmu perbomohan yang digunakan), saya pasti keputusan untuk jalan cerita filem ini dan hasil yang dikutip adalah lebih memberansangkan. Itu belum lagi disebut tentang promosi. Macam nampak tak nampak gitu.

Saya hanya mampu berikan 3 bintang dari 10 untuk filem ini.

 

Mobile Ads

Exit mobile version