
PANDANG PERTAMA
Kata pujangga, jangan menilai sesuatu daripada luaran. Tapi lihatlah, dengan harga kurang dari RM20, anda memperoleh kotak kecil untuk membawa IEM anda dengan mudah ke mana-mana dengan selamat. Kotak ini tidaklah kalis air dan mempunyai kemasan yang begitu baik, tapi jika anda ingin membelinya secara berasingan, saya rasa paling tidak pun ia berharga lebih kurang RM5 setiap satu. Satu bonus yang bagus dengan QKZ AK6.
Dengan kotak plastik ini juga, QKZ kelihatan sangat berjimat dengan pembungkusan mereka. Segalanya diletakkan di dalam kotak kecil ini tanpa maklumat atau visual tambahan. Pun begitu, bagi saya kotak plastik ini lebih baik daripada kotak kertas yang biasa. Tiada guna pembungkusan yang cantik sekiranya anda akan membuangnya begitu sahaja selepas mengeluarkan IEM daripada kotaknya.
QKZ AK6 juga hadir dengan beberapa aksesori tambahan seperti klip kabel, 2 pasang getah telinga tambahan dan cangkuk telinga silikon bagi mereka yang aktif atau ingin menggunakan IEM ini untuk bersukan. Getah telinga pada QKZ AK6 ini juga saya kira agak berkualiti dan mempunyai lapisan getah tebal pada ombohnya, berkesan dalam menyalurkan bunyi yang lebih baik daripada IEM ke telinga anda.
KUALITI BUNYI
Kualiti bunyi pada QKZ AK6 ini walaupun sangat memberangsangkan untuk harganya namun tidaklah sempurna. Bass yang dominan, mid yang kuat dan clarity yang mencukupi. Sepertimana IEM bajet yang lain, QkZ AK6 juga mengalami masalah pada talaan bunyi. Ini bermakna untuk sesetengah lagu, ia kedengaran sangat baik tetapi pada sesetengah lagu yang lain ia kedengaran agak muddy. Soundstage pula bagi saya adalah sederhana sahaja, tidak terlalu lebar, tidak terlalu sempit.
High kadangkala kedengaran agak piercing dan terlalu tinggi hingga mencucuk telinga dan menenggelamkan bunyi yang lain. Ini agak jelas pada lagu-lagu bergenre rock dan synth di mana bunyi gitar dan high-synth kadangkala kedengaran mendahului bunyi lain dan terlalu kuat sehingga menenggelamkan bunyi lain. Karakter bass-heavy IEM ini juga menambah luka pada kualiti bunyi dengan bunyi deruman bass kadangkala terlalu berlebihan sehingga menghilangkan kualiti vokal dan instrumen muzik yang lain.
Untuk gaming, saya kira IEM ini sesuai dan memenuhi kehendak. Bunyi letupan dan tembakan memuaskan telinga. Kadangkala ditembak musuh dari jarak dekat dan bunyi ledakan bom dan peluru begitu mengasyikkan. Saya boleh dengar dengan jelas perbezaan di antara letupan jauh dan dekat. Mikrofon pada QKZ AK6 juga bagi saya boleh diterima. Jujurlah, anda bukannya mahu merakam podcast, jadi dengan suara yang jelas dan penapisan hingar yang biasa-biasa sudah memadai untuk panggilan telefon dan juga bermain permainan video dalam talian.
KESIMPULAN
QKZ AK6 adalah IEM bajet bagi mereka yang mahu kelihatan dan rasa seperti audiophile dan gamer yang serius tapi tidak mahu berbelanja lebih. Kualiti bunyinya memang ada peningkatan berbanding dengan earphone pasar malam yang biasa. Rekabentuknya juga nampak lebih serius dengan keselasaan pemakaian yang bagus kepada pemakai. Hadir dengan 5 pilihan warna; merah, kuning, hijau, biru dan hitam serta didatangkan dengan kotak plastik, QKZ AK6 ada pakej lengkap untuk pemula dalam perjalanan mencari kualiti bunyi.
[…] ini berharga RM28. Sebagai perbandingan, QKZ AK6 hadir dengan lebih banyak pakej walau berharga lebih […]