AMP Ads
Mobile Ads
Home Ulasan Produk dan Gajet Maono AU-MH601: Headphone Studio Dengan Harga Bajet

Maono AU-MH601: Headphone Studio Dengan Harga Bajet

0
Mobile Ads

Pandang Pertama

Saya memang seorang penggemar headphone. Bagi saya, headphone lebih selesa, lebihn sedap didengar dan mempunyai julat bunyi yang lebih pelbagai berbanding earphone. Kali ini, saya mencuba pula headphone daripada Maono, iaitu Maono AU-MH601. Sebuah headphone studio dengan rekaan dan bunyi yang menarik.

Maono adalah antara jenama yang semakin mendapat populariti dengan produk audio mereka. Jadi, dengan headphone studio Maono AU-MH601 ini, saya sudah tentunya teruja!

Apa Dalam Kotak?

Maono AU-MH601 dibungkus dalam sebuah kotak besar. Warna kuning dan hitam sudah menjadi identiti bagi jenama ini dan ia juga dizahirkan dengan jelas dalam kotak produk mereka.

Di dalamnya, anda akan mendapat sepasang headphone studio, seutas kabel berpintal 3 meter dan sebuah buku manual. Kabel audio untuk Maono AU-MH601 ini hadir bersama aksesori tambahan untuk menjadikan bicu audio 3.5mm kepada saiz 6.3mm.

Spesifikasi Ringkas

Jenis: Over-Ear.

Rekaan belakang: Tertutup

Frekuensi: 20-20kHz.

Impeden: 32 ohms.

Sensitivit: 116dB ±3dB.

Saiz pemacu audio: 50mm.

Sambungan: Wired-3.5mm/6.3mm Stereo Adapter.

Bahan binaan: Plastik

Di atas adalah rajah frekuensi bagi headphone AU-MH601 yang dihantar oleh pihak Maono. Saya bukanlah jurutera audio, tetapid daripada graf ini boleh dikatakan heapdhone ini mempunyai kualiti bunyi yang lebih neutral.

Ia mempunyai dua lubang untuk bicu audio di kedua-dua belah telinga. Menjadikan ia padan dengan saiz bicu audio standard 3.5mm dan juga saiz 6.3mm. Dengan saiz pemacu audio sebesar 50mm dan juga pad telinga yang besar, ia mampu memberikan anda pengasingan bunyi pasif yang berpatutan.

Setelah Sebulan Penggunaan

Untuk sebulan dua ini, saya banyak melakukan kerja-kerja produksi. Saya menyunting video, mengkompos beberapa trek audio dan mendengar banyak lagu untuk projek sampingan saya. Tidak ada masa untuk menukar headphone dan saya gunakan sahaja Maono AU-MH601 ini.

Setakat menggunakannya, saya dapati ia selesa dan boleh berfungsi dengan cemerlang untuk kerja saya. Bunyi yang dihasilkan olehnya sangat neutral dan sesuai dengan kehendak saya. Tidak terlalu menonjol dalam mana-mana aspek bunyi dan pendengaran terasa jelas dan rata tanpa bayangan daripada frekuensi tertentu.

Binaannya pula setakat ini masih utuh dan tiada tanda-tanda kerosakan. Kabel audionya pula, walau lain dari yang lain, masih lagi berfungsi sama seperti baru dikeluarkan daripada kotak. Tiada longgar atau karat. Secara puratanya, penggunaan jangka panjang yang menyenangkan dan menyeronokkan.

Apa Yang Saya Suka Dengan Maono AU-MH601?

KUALITI BUNYI– Ini adalah perkara pertama yang anda akan perasan apabila mencuba mana-mana headphone. Kualiti bunyi adalah perkara pertama yang saya nilaikan apabila mencuba sebarang headphone. Seperti yang saya katakan di atas, bunyi pada MH-AU601 ini bersifat neutral. Bass yang tepat dan terarah, mid yang begitu jelas dan juga frekuensi tinggi yang tidak terlalu menikam gegendang telinga anda.

Saya boleh menggunakannya untuk mendengar pelbagai genre lagu untuk jangka masa yang lama dan semunya kedengaran sangat natural dan santai. Dalam erti kata ringkas, ia sesuai untuk semua genre lagu yang telah saya cuba.

KESELESAAN– Maono AU-MH601 ini selesa dipakai. Pad telinga diperbuat daripada kulit protein yang lembut pada kulit dan memberi pengudaraan kepada telinga. Saiznya juga besar. Jika telinga anda tidak bersaiz terlalu besar, telinga anda akan duduk selesa dikelilingi pad telinga. Saya yang memakai kaca mata juga tidak terasa tekanan pada telinga walaupun memakainya selama 2-3 jam lamanya.

REKAAN– Rekaan headphone ini bagi saya menarik. Dengan bentuk yang minimalis dan tona warna yang elegan. Headphone ini sememangnya nampak seperti satu headphone ‘bekerja di studio’ yang serius. Apabila anda memakainya, atau bergambar dengan headphone ini di kepala, nampak persis seorang komposer (walau hakikatnya anda baru mula berjinak menonton YouTube cara-cara untuk menyunting video, macam saya. Hahaha).

Bahagian sisinya juga direka dengan permukaan yang rata. Saya lihat ada pengguna yang melakukan modifikasi pada bahagian luar telinga ini dengan menampal pelekat saluran YouTube ataupun logo syarikat mereka sendiri. Satu Idea yang menarik.

BICU DAN KABEL AUDIO– Bicu dan kabel audio pada headphone ini sangat unik. Boleh ditukar guna samada 3.5mm ataupun 6.3mm. Kabel berpintal yang diberikan bersama juga tebal dan terasa berkualiti tinggi. Dengan kepanjangan 3 meter, ia sudah cukup untuk memenuhi keperluan anda untuk bangun dan duduk daripada kerusi semasa membuat kerja di meja anda.

BERSENDI DAN MUDAH DIBAWA– Headphone ini penuh dengan artikulasi. Pemegang telinganya boleh dipusing menghadap ke depan sebanyak 90 darjah. Angkup telinganya pula boleh dimasukkan ke dalam sehingga 180 darjah. Menjadikannya senang dikecilkan untuk dibawa ke mana-mana. Ia headphone yang pandai melakukan gimnastik!

Apa Yang Saya Harap Maono Perbaiki?

BAHAN BINAAN YANG LEBIH KUKUH– Secara jujurnya, Maono AU-MH601 ini kelihatan murah apabila dilihat dari dekat kerana binaannya yang 100 plastik. Ia terasa premium pada sentuhan dengan plastik yang seakan baldu. Tapi seriuslah? Pelaras telinganya juga dibuat daripada 100% plastik? Saya mengharapkan setidaknya bahagian ini dibuat daripada besi atau aluminium. Ya, untuk sebuah headphone yang kononnya untuk kegunaan studio, saya harapkan headphhone saya bertahan lama dan ‘tahan campak’.

WARNA– Sedikit warna tak akan melukakan sesiapa. Saya faham dengan prinsip rekaan Maono AU-MH601 ini yang lebih ke arah minimalisma dan memberi lebih fleksibiliti untuk pengguna menggunakan logo sendiri pada headphone ini. Ia juga hadir dalam 3 warna mengikut maklumat pada kotaknya. Tetapi, sedikit kemasan krom tidak akan menjadi masalah kan?

SOKONGAN BLUETOOTH?– Ya, saya tahu. Ini headphone studio berwayar. Tapi saya sukakan idea sebuah headphone semua dalam satu. Siap sahaja kerja saya di meja, saya berharap saya boleh cabui sahaja kabel daripada headphone saya, ambil telefon dan keluar. Kemudian, teruskan hari saya dengan mendengar lagu dengan headphone studio saya, secara tanpa wayar. Menarik bukan?

Kesimpulan

Maono AU-MH601 adalah satu headphone yang seimbang, bajet dan sesuai untuk mereka yang banyak melakukan kerja-kerja penyuntingan dan audio. Untuk penggemar audio tanpa bajet yang tinggi juga sesuai mendapatkan headphone ini kerana kualiti bunyinya yang agak mengagumkan dengan harganya.

Bagi mereka yang memiliki headphone amplifier juga, boleh gunakan bersama dengan Maono AU-MH601 ini mendapatkan bunyi yang lebih jitu dengan tindak balas bass yang lebih cekap dan tepat. Cuma, ia agak berat dengan berat sehingga 390 gram. Tak sesuai untuk bersenam, tapi siapa saja yang bersenam dengan headphone berwayar kan?

Dapatkannya di kedai rasmi:

Shopee

Mobile Ads

Apa pendapat anda?Cancel reply

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
wpDiscuz
0
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x
Exit mobile version