AMP Ads
Mobile Ads
Home Durian Buruk Terbaik Dari Langit : Sarat Nilai Pengajaran Dengan Sinematografi Setaraf Hollywood

Terbaik Dari Langit : Sarat Nilai Pengajaran Dengan Sinematografi Setaraf Hollywood

0
Mobile Ads

Pada era lambakan filem sampah berbahasa Melayu, saya tertancap dan terpesona dengan filem ini. Terbaik Dari Langit. Bunyinya agak narsisis dan buatkan saya teragak-agak untuk menontonnya. Namun, setelah mengetahui ianya antara produk dari Astro Shaw, saya tonton juga kerana melihat kepada beberapa filem sebelum ini daripada Astro Shaw yang memang memenuhi kehendak penonton cerdik dan pencinta filem tempatan yang bermutu tinggi.

Terbaik Dari Langit berkisar kepada 4 sahabat dari zaman sekolah asrama iaitu Berg, Ijam, Toyu dan Ali serta seorang watak pelakon upahan iaitu Sofea Jane. Kisahnya bermula dengan pengenalan watak-watak lelaki ketika masih di bangku sekolah.

Berg yang bercita-cita untuk menjadi pengarah filem.
Ijam yang bercita-cita menajdi pelakon lelaki popular.
Toyu yang penakut dan selalu melarikan diri daripada konflik.
Ali yang tidak sukakan sekolah dan sering terlibat dengan masalah disiplin.

Di awal cerita, saya rasa seperti tidak ada apa-apa yang menarik. Ini babak yang sangat landai dan memberikan anda info yang ringan dan remeh. Sehinggalah babak di awal cerita yang menunjukkan Berg telah melihat sebuah UFO di padang sekolah. Mulai babak ini saya sudah mula memutarkan pelbagai hipotesis, ini bukan lagi filem biasa-biasa!

Kita kemudiannya terus dibawa ke jangkau masa apabila mereka berempat sudah menjangkau dewasa dan hampir semua watak sudah berjaya mencapai cita-cita dan melakukan apa yang mereka suka. Toyu kini menjadi guru, Ijam kini seorang pelakon popular dan Berg sudah ke arah menjadi seorang pengarah filemnya sendiri. Masing-masing masih lagi kekal dengan karakter masing-masing. Dapat dilihat olahan pengarah filem ini, Nik Amir Mustapha dalam mengembangkan plot. Babak permulaan di sekolah pada awal cerita yang dilihat agak bland diolah dan dibawa ke hadapan dengan baik.

Babak Ali muncul semula apabila Berg mula mengumpulkan semua sahabatnya untuk mengembara mencari UFO yang pernah dia lihat 15 tahun dahulu di sekolah dan dalam masa yang sama, membuat penggambaran filemnya. Di sinilah watak Sofea Jane diperkenalkan kerana Berg mahukan seorang watak perempuan dalam filemnya.

Konflik demi konflik bermula dan timbul satu demi satu yang mula merenggangkan persahabatan mereka berempat dan seringkali juga Sofea Jane masuk campur untuk meredakan mereka. Dendam lama Ijam pada Ali juga masih belum hilang yang menambahkan lagi masalah dan konflik di antara mereka. Dalam setiap konflik yang timbul, kita akan tertanya-tanya, apa sebenarnya yang berlaku 15 tahun dahulu? Sekali lagi, saya rasakan pengarah filem ini, Nik Amir Mustapha telah melakukan kerja yang sangat bagus.

Di samping penerapan elemen persahabatan, kepercayaan dan kejujuran, filem ini juga ada kekuatannya tersendiri dalam skripnya. Jujurnya, kalau nak ditulis semua bait dialog dari filem ini, sudah boleh dibuat buku selfie. Tidak lupa juga OST filem ini, Sahabat daripada kumpulan Pitahati, saya kira sangat tepat dengan lirik lagu yang sangat orang kata, hit the spot.

Pada klimaks plot cerita ini, Ijam semakin hilang kawalan dan memecahkan kamera Berg. Mereka berempat akhirnya berpecah dan membawa diri masing-masing. Toyu, masih lagi diam membisu dan enggan campur tangan dalam konflik mereka walaupun dia sebenarnya ada peranan penting dalam menerangkan apa yang sebenarnya berlaku 15 tahun dahulu. Sofea Jane akhirnya campur tangan dengan serius dan akhirnya Toyu telah membuka mulut setelah mendapat keyakinan diri. Gandingan di antara dua pelakon ini saya kira sangat mantap dan ada chemistry. Watak yang dibawa dilihat sangat dijiwai dan tidak kaku. Antara babak menarik dalam filem ini ialah kemunculan Aziz Satar sebagai watak datuk kepada Berg semasa Berg lari membawa diri dan akhirnya tiba di sekolah lamanya.

Di peringkat penurunan plot cerita ini, satu demi satu persoalan mengenai apa sebenarnya yang berlaku 15 tahun dulu mula terungkai dan kebenaran tentang Ali akhirnya terbongkar. Ijam akhirnya mengakui kesilapannya dan mereka berdua akhirnya telah berbaik-baik.

Filem ini juga saya kira bukan sekadar filem tentang pemburuan mencari UFO semata-mata. Di dalam filem ini juga sarat dengan elemen kritikan sosial dan falsafah :

– Ijam sebagai seorang pelakon baru popular yang tiada prinsip diri dan melakukan apa sahaja atas dasar populariti walaupun melibatkan perkahwinan dengan orang yang langsung tidak dicintainya. Dia juga mudah tertipu dengan kepura puraan dan menjadi mangsa sikap buruknya sendiri sehingga tidak boleh membezakan yang mana kawan dan yang mana lawan.

– Toyu yang sering melarikan diri dari masalah dan merasakan perbuatannya itu boleh mengelakkan diri dari masalah. Toyu sering berharap masalah selesai dengan sendiri walaupun dia sedar perbuatan melarikan diri cuma menyebabkan masalah tersebut semakin parah kerana tidak ditanggani dari awal.

– Ali yang menjadi mangsa keadaan dan persepsi negatif terhadap dirinya walaupun dia seorang yang baik dan sering mempertahankan rakan-rakannya di belakang orang lain.

– Berg yang tetap mengejar impiannya dengan penuh keazaman walupun sering dicemuh dan pandangannya diperbodohkan. Berg sangat percaya dengan prinsip yakin pada diri dan melakukan sesuatu bukan kerana pengiktirafan orang lain,

– Sofea Jane yang menunjukkan peri pentingnya kejujuran dalam sesuatu hubungan. Ini ditampilkan dengan jelas di mana watak beliau sering menyibuk dalam konflik 4 sahabat ini. Semuanya hanya atas satu sebab, MENCARI KEBENARAN SEBENAR.

– Watak wartawan hiburan yang sering bertanyakan soalan murahan dan gosip sampah daripada berusaha mendapatkan maklumat yang benar-benar bermanfaat.

– Watak pengkritik filem yang terus melabel filem sebagai sampah, hanya kerana mereka gagal memahaminya dan ia lari dari kebiasaan. Mereka tidak memandang dari sudut nilai dan kualiti dan tidak ambil kisah pun dengan penerangan pengarah baru.

– UFO dalam filem ini saya lihat sebagai metafora dan analogi sebuah impian dan usaha yang tidak putus asa. Pada awal filem, cuma Berg sahaja yang melihat UFO itu. Di akhir filem, setelah filem Berg siap, mereka semua akhirnya telah mampu melihat UFO tersebut dan Berg telah mengikuti UFO ini meninggalkan mereka. Sama seperti impian Berg yang mahu melihat keempat-empat mereka kembali akrab dan impiannya untuk membuat filem sendiri, kedua-dua visi ini cuma ada pada Berg dan tidak pada Ijam, Toyu dan Ali. Dengan keazaman dan usaha tanpa putus asa, akhirnya fantasi telah menjadi realiti.

Sinematografi dalam filem ini juga saya kira sangat cemerlang. Penggunaan imej janaan komputer juga dilihat tidak berkotak-kotak dan agak trippy. Satu teknik yang sangat jarang digunakan dalam perfileman tempatan tapi sangat bertepatan dan sempurna dengan tema dan niche filem ini. Dengan kualiti setaraf Hollywood, kesan khas filem ini juga merupakan antara rencah yang telah melengkapkan filem ini. Ia juga tak memerlukan elemen seks dan keghairahan melampau hanya untuk menarik penonton ke pawagam. Tiada babak berpelukan, rogol ataupun rempit. Sangat sesuai untuk tontonan keluarga malah sangat sarat dengan pengajaran. Tak sabar rasanya untuk menagih air tangan daripada pengarah muda Nik Amir Mustapha. Filem ini bagi saya, sangat masterpiece!

Mobile Ads

Apa pendapat anda?Cancel reply

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
wpDiscuz
0
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x
Exit mobile version