Cara Mudah Mempelajari Bahasa Asing Secara Percuma

Kebanyakan kaedah atau aplikasi pembelajaran bahasa asing tidak mampu memberikan kesan terbaik. Selepas habis ‘belajar’ dari aplikasi, belum tentu mampu bertutur dalam bahasa yang dipilih.

Kenapa ini terjadi?

Ini adalah kerana kebanyakan darinya bukan ‘memberikan’ bahasa tersebut kepada ‘penerimanya’, tetapi ia mengajar, menyuruh pengguna mengingati perkataan, dan langkah-langkahnya membosankan, lagi meletihkan.

Pernahkah kita terfikir bagaimana bayi ‘belajar’ bahasa yang dituturkan ibu bapanya?

Tidak. Bayi tidak pernah belajar, sebaliknya bayi ‘mendapat atau memperoleh’ bahasa tersebut melalui perbuatan harian ibu bapanya.

Pembelajaran bahasa sepatutnya dijalankan secara separa sedar (subconscious mind) dan bukan secara paksa. Ia mesti dibuat dengan cara semulajadi.

Rujukan: Dr. Stephen Krashen, Profesor Linguistik, emeritus University of Southern California.

Adakah aplikasi seperti Duolingo, Mondly, LingoDeer, dan sebagainya lagi tidak berkesan?

Tidak juga. Aplikasi seperti ini boleh digunakan untuk mendapatkan tapak atau asas kepada bahasa yang anda ingin ‘perolehi’. Selepas kukuhkah tapaknya, anda boleh beralih kepada ‘pemerolehan’ atau ‘pemilikan’ bahasa melalui cara-cara berikut.

1. Mendengar.
2. Kenal pasti.
3. Pengucapan Dan Pengukuhan.
4. Latihan.
5. Uji diri.

Nampak seperti banyak sungguh langkahnya, tetapi tidak. Apa yang anda perlu lakukan ialah banyak mendengar perkataan harian bagi bahasa yang anda ingin pelajari dari filem-filem atau drama.

Contohnya saya ingin belajar bahasa Kantonis. Saya banyak mendengar perkataan yang sering diucapkan melalui filem Stephen Chow di Netflix.

Kalau tidak banyak yang dapat diingati pun, sekurang-kurangnya saya boleh dapat dalam 100 patah perkataan yang mudah-mudah, seperti:

1. Cheng man = Excuse me.
2. Siu ce’ = Miss.
3. Nhei hou = Hello.
4. Em goi = Thank you.
5. Gwong dong wa = Cantonese.

Dan sebagainya lagi. Saya akan ‘kutip’ pelbagai perkataan dan rangkumkan ia dalam satu buku khas. Dalam konteks kita di dunia moden, saya gunakan aplikasi Keep Notes kerana ia amat mudah diselaraskan di pelbagai jenis peranti dengan satu akaun Google.

Di peringkat awal ini anda tidak perlu pedulikan mengenai tatabahasa (grammar). Tak usah kisahkan tentang kesilapan, kerana awalan setiap sesuatu semestinya tidak sempurna.

Untuk mengingati setiap perkataan ini bagi menjadikan ia perbendaharaan kata dalam minda, maka saya terapkan perkataan-perkataan tersebut ke dalam satu gambar, yang saya lukiskan sendiri. Ada sesetengah orang memanggilnya sebagai ‘Method of Loci’, tetapi pada saya kaedah ini telah saya gunakan sendiri sejak dari sekolah menengah lagi bagi mata pelajaran bahasa Arab. Siapakah ‘Loci’ itu pun saya tidak kenal.

Caranya ialah saya akan susunkan perbualan ke dalam gambar tersebut.

Sebagai contoh, saya ingin bertanyakan di manakah tandas kepada seorang wanita berhampiran, maka saya lukiskan tandas, wanita, dan tulis pula berkataan yang berhubung dengan apa yang hendak saya tanya di sebelah setiap subjek.

Dengan cara ini, saya susunkan kesemuanya (perkataan) ke dalam bentuk visual supaya apabila saya hendak mengingati dan mengucapkannya kembali, ia menjadi lebih mudah bila saya ‘dapatkan’ perkataan itu melalui bank memori visual saya.

Dengan cara ini juga saya boleh terapkan beberapa perkataan sekaligus ke dalam satu gambar, dan akan lebih sukar untuk lupa. Jadi saya masukkan perkataan dan soalan seperti “Cheng man siu ce’, sai sau gaan, hai bin dou aa? Em goi siu ce’.”, di sebelah setiap subjek yang saya telah lukiskan tersebut.

Mungkin itu bukan lukisan terbaik yang saya boleh lukiskan, tetapi anda boleh fahamkan ideanya bagaimana?

Seterusnya saya akan mengulang beberapa patah perkataan tersebut dengan mengajuk bagaimana pengucap natif (native speaker) menyebutnya. Dalam hal ini, orang Cina yang bercakap dalam bahasa Kantonis.

Saya akan mengulanginya sehingga tidak terasa canggung ketika cuba mengucapkannya di hadapan pengucap natif. Ini boleh dilakukan di kebanyakan kedai-kedai runcit yang dimiliki oleh orang Cina, dan ketika mengucapkannya, sedar tidak sedar saya telah melakukan kesemua perkara/langkah dari satu hingga lima.

Ini adalah satu contoh sahaja, yang mana kaedah ini digunakan oleh saya sendiri ketika cuba menguasai bahasa Inggeris dari tingkatan satu yang saya rasakan sangat asing kerana saya tidak pernah bertutur dalam bahasa Inggeris di rumah, tidak pula mahir walaupun sudah belajar dari darjah satu hingga enam.

Tidak lupa juga,

1. Saya banyak mendengar lagu rap dan metal, lalu saya terjemahkan.
2. Saya gunakan kembali perkataan tersebut dalam karangan dan puisi.
3. Saya banyak mendengar ayat-ayat lazim dalam filem.
4. Mana-mana perkataan yang ‘ganjil’ atau tidak difahami, saya akan tulis dalam buku nota untuk diterjemahkan kemudian.
5. Saya akan nyanyikan semula lagu rap atau metal yang diingati sebagai ‘jalan’ menuturkan perkataan dengan cara yang lebih menyeronokkan.

Saya akan gunakan semula kesemua perkataan yang saya ingati kepada seorang rakan yang sudah fasih bertutur, serta tidak pedulikan tentang tatabahasa kami. Apa yang penting ialah bercakap, bercakap, dan bercakap sehingga datang keyakinan dalam diri.

Paling penting rakan anda perlulah juga ‘menikmati’ proses ini, kerana jika tidak, ia akan jadi satu perkara yang sangat membosankan, bahkan akan buat anda pula berputus asa.

Anda boleh dapatkan banyak perkataan asas dari buku cerita kanak-kanak, atau video kanak-kanak di YouTube. Dari dua sumber ini, anda akan dapat asas tatabahasa secara separa sedar, dan dari filem pula anda akan dapat pengucapan secara natif.

Ulang kesemua langkah ini sehingga anda sudah mempelajari lebih kurang 4000 patah perkataan, dan kemudian berasa selesa untuk berbual bersama mereka yang menuturkan bahasa tersebut.

Perkara pokok yang anda perlu sentiasa ingati, jangan belajar bahasa, tetapi ‘perolehlah’ bahasa tersebut sama seperti bayi memperolehinya melalui sumber sekeliling.

Selamat mencuba,

Arya Putra
Arya Putrahttps://omghackers.com/
A regular tech blogger who have passions for cats. I will not put my trust on anybody who hated them, doesn't matter if they are my friends or family. I have a dream where I am the owner of a Cat Cafe. Help me achieve it by hiring me as your reviewer. For any review inquiries, you can contact me at [email protected]

Artikel Terkini

spot_imgspot_img

Artikel Berkaitan

Apa pendapat anda?

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
spot_imgspot_img
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x