AMP Ads
Mobile Ads
Home Tips Dan Tutorial Browser Hijacking: Ia Masih Berlaku, Dan Bagaimana Cara Mencegahnya

Browser Hijacking: Ia Masih Berlaku, Dan Bagaimana Cara Mencegahnya

0
Mobile Ads

 

Apa Itu Browser Hijacking?

Browser Hijacking atau pencerobohan/rampasan pelayar web ialah perubahan pada pelayar web yang tidak dilakukan sendiri oleh pengguna.

Ada perubahan yang nampak tidak menjejaskan, dan ada pula perubahan yang akan menyebabkan privasi dan data pengguna berada dalam keadaan tidak selamat.

Sebagai contoh, biasanya laman rumah atau homepage ditetapkan oleh anda sendiri, atau anda gunakan sahaja apa yang ditetapkan oleh pembangun.

Apabila browser hijacking berlaku, laman tersebut bertukar serta-merta.

Tetapi ia tidak berubah hanya semata-mata tetapan ‘biasa’ sahaja.

Antara contoh lain ialah secara tiba-tiba, terdapat iklan-iklan yang diluar konteks pelayaran anda, dan tetingkap pop naik yang entah dari mana keluar. Ia juga boleh dihalakan kepada laman mereka yang melakukan pencerobohan tersebut.

Kenapa Perkara Ini Dibuat?

Biasanya tidak lain tidak bukan, yang pertamanya tetingkap pop naik tersebut akan memberikan trafik kepada laman penceroboh.

Trafik dan iklan, sebagaimana yang kita tahu adalah sumber pendapatan pada laman-laman sesawang. Untuk laman yang setiap bulan jumlah kunjungannya mencecah jutaan lawatan, penulisnya boleh menarik nafas lega.

Tetapi jika trafik sedikit, boleh jadi pendapatan dari iklan juga adalah sangat hambar.

Atas kerana itulah ‘rampasan’ pada tetapan pelayar dilakukan, supaya pengguna dapat memberikan klik dan trafik yang banyak kepada iklan-iklan mereka.

Akan tetapi ini juga masih belum serius.

Ada sesetengah individu yang membuat aktiviti ‘hijack’ ini bukan semuanya lurus. Terdapat juga mereka yang berniat kurang baik. Pelayar boleh ditetapkan untuk memuat turun perisian hasad.

Ia boleh terdiri dari keylogger, ransomware, dan pelbagai lagi jenis malware yang dapat mencuri data peribadi pengguna seperti maklumat kad kredit dan perbankan.

Jika mereka tidak dapat mencuri apa yang ada tersimpan dalam komputer, keylogger akan menjalankan tugasnya memantau taipan pada papan kekunci, dan ada juga yang boleh memantau webcam.

Jika pelayar web anda sudah mula membuka sesuatu laman secara tiba-tiba, keluarnya pop naik mengandungi iklan, pelayar anda menjadi ‘berat’ dan perlahan, serta terdapatnya pelbagai toolbar baru yang tidak dipasang sendiri oleh anda, maka ia merupakan tanda-tanda jelas pelayar anda dijangkiti oleh aktiviti pencerobohan.

Cegah Lebih Baik Dari Merawat

Kebiasaannya, toolbar yang terpasang ialah hasil dari apa yang anda klik sewaktu memasang sesuatu aplikasi.

Adalah baik sekiranya sebelum habiskan pemasangan, anda semak terlebih dahulu pilihan yang diberikan oleh pemasang. Sekiranya terdapat pilihan yang anda tidak mahu, anda boleh buang tanda centang, atau elakkan terus dari pemasangan kerana ia biasanya tersorok dalam pemasang aplikasi yang anda percaya selamat dari virus.

Aplikasi seperti ini juga selalunya adalah percuma.

Selain itu, anda perlu berhati-hati terhadap setiap pautan yang anda klik. Emel phishing berkemungkinan akan dapat ditapis terlebih dahulu oleh servis emel yang anda gunakan.

Tetapi pautan yang diposkan di merata-rata tempat selain emel tidak ada sebarang tapisan, melainkan;

1. Akal anda.
2. Antivirus.

Jangan pandang rendah kepada keperluan menggunakan antivirus kerana anda pun bukan selalunya bijak (eheh!). Ada hari-harinya, boleh terkena jua.

Kadangkala ada juga ter-klik sesuatu pautan yang membawa musibah kepada komputer. Oleh itu gunakanlah antivirus dan kemas kini definisi virus setiap hari.

Antara langkah berjaga-jaga yang lain ialah cuba gunakan DNS sekuriti seperti NextDNS. Ia adalah DNS yang saya sendiri gunakan kerana dalam tetapannya terkandung pelbagai pencegahan terhadap perkara-perkara seperti ini, bahkan lebih lagi.

Kalau sudah terkena macam mana?

Oh, kalau anda sudah pun terkena, itu kita perlu bincangkan dalam artikel lain, iaitu langkah-langkah mengembalikan pelayar seperti keadaan asal. Secara asasnya, anda boleh ‘reset’ pelayar anda untuk kembalikan ia dalam keadaan seperti baru dipasang.

Mobile Ads

Apa pendapat anda?Cancel reply

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
wpDiscuz
0
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x
Exit mobile version