AMP Ads
Mobile Ads
Home Pilihan OMG Artikel Benarkah Facebook Mendengar Perbualan Pengguna Dan Menukarnya Kepada Iklan?

Benarkah Facebook Mendengar Perbualan Pengguna Dan Menukarnya Kepada Iklan?

0
Mobile Ads

Pernah tak, bila anda ada perbualan dengan seorang rakan tentang sesuatu, contohnya Pizza, tak lama selepas itu bila anda buka Facebook, keluar iklan berkaitan Pizza.

Khabar angin tentang Facebook mendengar perbualan penggunanya bukan benda baru. Ia bukan sahaja tidak benar, malah sebenarnya Facebook tidak perlu merekod setiap perbualan untuk mengeluarkan iklan bersasar.

Pertama sekali, mari kita huraikan dahulu kenapa ia tidak berasas. Teorinya begini: Facebook boleh merekod dan menganalisa setiap apa yang diperkatakan oleh penggunanya, iaitu anda, kita, kucing, makcik rumah sebelah, pokok, Tupperware, dan sebagainya lagi. Huh.

Jika Facebook mendengar dan merakam setiap perbualan anda, katakanlah hanya 12 jam sahaja dalam sehari, dengan pilihan kualiti audio paling rendah iaitu 32kbps, maka ia perlu menghantar data rakaman suara kembali ke pelayan sebanyak 169MB setiap hari.

Ini agak tidak masuk akal, ditambah lagi dengan kebanyakan pengguna di Malaysia menggunakan plan prabayar yang mempunyai kuota data kecil. Rakaman seperti ini akan dapat menghabiskan data sebanyak 5GB sebulan – tidak termasuk dengan aktiviti sampingan anda seperti menonton video di YouTube, Netflix, dan sebagainya.

Tidak lupa juga, 32kbps adalah rakaman berkualiti super-rendah. Jika Facebook hendak mendapatkan rakaman yang lebih baik bagi analisa mesinnya, mereka memerlukan audio dengan kualiti 128kbps. Rakaman untuk 12 jam dari kualiti ini pula akan menggunakan sebanyak 675MB data anda, dan lebih kurang 20GB sebulan.

Sekiranya ini berlaku, mustahillah anda tidak akan perasan. 20GB tu! Jangan kata pakar sekuriti internet, orang biasa pun akan dapat mengesan perbuatan seperti ini kerana ‘beratnya’ data yang dihantar keluar.

Oleh itu, munasabah atau tidak teori ini?
Ya, jawapannya tidak.

Jadi, bagaimana caranya Facebook mendapatkan data hiper-khusus penggunanya sehingga keluar pula iklan hiper-khusus?

Facebook tidak perlu buat semua perkara yang sangat tidak praktikal seperti itu (mendengar rakaman perbualan). Ini adalah kerana Facebook sudah mempunyai data-data anda, lebih dari mencukupi untuk membuat penalaan identiti unik.

Baru-baru ini, Facebook ada melepaskan satu ciri yang amat penting untuk disemak iaitu Off-Facebook Activity. Anda boleh lihat segala data yang telah dikutip oleh Facebook pada pautan ini: Off-Facebook Activity

Anda juga boleh lihat ia melalui aplikasi Facebook. Pergi ke Settings – skrol ke bawah hingga ke bahagian Your Facebook Information – Off-Facebook Activity.

Apa sebenarnya yang boleh kita rumuskan melalui bahagian ini?

Pernah tak anda menonton filem bertajuk ‘The Truman Show‘, di mana watak bernama Truman Burbank (Jim Carrey) hidup dalam satu dunia palsu ciptaan rancangan realiti TV. Seluruh hidupnya menjadi bahan rakaman, dari hal umum hinggalah yang melibatkan hal peribadi.

Begitulah jua perumpamaan apa yang telah dibuat oleh Facebook ini. Melalui ‘Off-Facebook Activity’, iaitu data setiap aktiviti anda yang telah dijejaki oleh Facebook dengan pelbagai kaedah, ia menunjukkan bahawa Facebook, dan aplikasi lain yang berada di bawah seliaannya iaitu Instagram, Messenger, WhatsApp – tidak memerlukan mikrofon untuk merakam setiap aktiviti dalam hidup anda.

Meskipun anda menutup aplikasi Facebook di telefon, mereka akan tetap dapat mengesan aktiviti di luar talian anda apabila mereka menerima notifikasi dari syarikat-syarikat lain yang menyerahkan ia secara sukarela.

Anda tidak buka Facebook tetapi ada mencari informasi mengenai pakej percutian? Jangan bimbang. Sebentar lagi anda akan menerima iklan mengenainya.

Facebook menerima informasi tersebut menerusi trackers (penjejak) dan juga dari syarikat yang mengambil bahagian menggunakan apa yang dipanggil oleh Facebook sebagai ‘Business Tool’. Trackers atau ‘mata-mata’ Facebook ini sudah ada dan boleh dikatakan hampir pada setiap laman sesawang popular.

Maklumat anda yang dihantar di luar aplikasi Facebook itu, akan disimpan pula oleh Facebook lalu membentuk data spesifik diri anda – dari pembelian ubat nyamuk, kasut, makanan, hinggalah kepada makanan kucing, dan pembayaran ansuran bulanan kepada AEON Credit.

Anda boleh rujuk mengenai Off-Facebook Activity di laman Facebook: Off-Facebook Activity: Control your information.

Ini bukanlah perkara baru, cuma bagaimana, dari mana, dan bila Facebook menerima data-data kita itulah yang baru ditunjukkan di bahagian ini.

Sudah bertahun lamanya Facebook bekerjasama dengan pelbagai syarikat yang bersedia berkongsi data pengguna, dan mereka inilah yang menjadi ‘kamera serta mikrofon’ bagi pihak Facebook.

Off-Facebook Activity ini memberikan gambaran yang agak jelas akan cara Facebook mengeluarkan iklan bersasar yang begitu tepat sekali kepada para pengguna, dan ia juga ada memberi (sedikit) kawalan data serta bagaimana ia digunakan, kepada pengguna Facebook.

Data yang dikumpul itu diletakkan dalam beberapa kategori dan minat. Sebagai contoh mungkin saya sendiri dimasukkan ke dalam ruangan penduduk di Putrajaya – minat kucing. Jadi saya berasa tidak beberapa hairan jika keluarnya iklan mengenai kucing dan lain-lain perkara yang seangkatan dengannya.

Ini semua tidak susah pun untuk Facebook perolehi, kerana kebanyakannya diserahkan sendiri oleh anda. Tak percaya?

Anda boleh lihat di sini pula: Ad Preferences.

Ini adalah contoh sebahagian dari aktiviti yang dikategorikan sebagai ‘minat’ saya, dan diasingkan pula oleh Facebook menjadi satu bahagian khusus untuk membentuk profil diri:

Jadi, konklusinya di sini, Facebook ada cara yang begitu hebat sekali dalam melakukan pemantauan, perisikan (boleh guna kot istilah ni ya?), dan pengintipan serta pengutipan data pengguna mereka, dari cara dalam aplikasi, dalam talian, dan juga luar talian.

Kesemua maklumat diri pengguna disusun secara terperinci, lalu profil khusus pun terbentuk. Pengguna tidak lagi perlu untuk klik butang ‘suka’ atau log masuk menggunakan butang Facebook pada aplikasi tertentu, kerana ‘tools’ atau ‘trackers’ mereka ada di mana-mana.

Anda tidak perlu bimbang tentang penggunaan mikrofon pada telefon anda, sebaliknya gunakanlah apa yang telah disediakan oleh Facebook melalui pautan-pautan yang saya kongsikan di atas untuk mengawal dan menyelia data peribadi anda.

Mobile Ads

Apa pendapat anda?Cancel reply

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
wpDiscuz
0
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x
Exit mobile version