AMP Ads
Mobile Ads
Home Berita Teknologi Apa Itu NAS? Kotak Penyimpanan Data Yang Lebih Selamat

Apa Itu NAS? Kotak Penyimpanan Data Yang Lebih Selamat

0
Mobile Ads

NAS (Network Attached Storage) adalah sebuah kotak yang berfungsi untuk menyimpan data digital anda. Sekali pandang, ia tak tumpah seperti sebuah PC mini, lengkap dengan wayar plag untuk kuasa dan juga beberapa port yang biasa terdapat pada PC seperti LAN, USB dan juga mempunyai butang kuasa. Ia juga mempunyai RAM dan pemproses CPU sendiri.

Namun begitu, jika dilihat dengan lebih dekat, peranti NAS ada rekaan yang lain daripada kotak PC yang biasa. Ruang cakera keras mereka berada di luar dan membolehkan anda menukar dan membuka ruangan cakera tersebut dengan lebih mudah.

NAS semakin popular kebelakangan ini terutama sekali buat jurugambar, syarikat data dan juga individu yang menyimpan banyak data penting. Ini kerana, NAS menawarkan sistem penyimpanan data yang lebih selamat dan juga lebih murah berbanding dengan simpanan awan dengan bayaran langganan bulanan.

Dengan NAS, kebiasaannya ia hadir dengan konfigurasi 2 atau 4 ruangan untuk cakera keras. Dengan 4 cakera keras dalam satu sistem, anda boleh menggunakan kaedah simpanan Raid. Raid membolehkan anda menggunakan kesemua 4 cakera keras sebagai 1 cakera keras tunggal. Konfigurasi Raid0 contohnya, membolehkan sistem anda membaca 4 cakera keras anda sebagai satu cakera tunggal yang besar. Lebih menarik lagi, ada NAS yang menyokong sehingga 8 ruangan cakera keras HDD dengan 2 slot SSD NVMe untuk cache.

 

Ada banyak jenis Raid daripada Raid0 sehingga Raid10 dan setiap jenis Raid mempunyai kelebihan mereka sendiri sama ada daripada segi kelajuan ataupun keselamatan data. Raid5 contohnya, memastikan data anda kekal selamat walaupun 1 daripada 4 cakera keras HDD anda rosak.

Bayangkan anda menyimpan  banyak data dan gambar penting anda pada cakera luar ataupun pendrive. Tiada jaminan data anda akan selamat selamanya. Sekiranya cakera luar anda rosak, maka selamat tinggal data! Bagaimana pula jika pendrive anda hilang? Dengan NAS, walaupun satu daripada banyak cakera keras anda rosak, anda cuma perlu menukar cakera keras yang baru dengan saiz yang sama. Namun begitu, walaupun anda tidak terus menukar cakera keras yang rosak dengan yang baru, data anda masih selamat dan dapat diakses.

NAS juga berfungsi dengan sistem operasi mereka sendiri sama seperti PC. Namun begitu, mereka tidak menggunakan sistem operasi Desktop yang biasa. Sebaliknya, mereka menggunakan sistem operasi mereka sendiri. Perkembangan sistem NAS yang pesat juga membolehkan pengguna biasa menggunakan NAS dengan sistem operasi yang lebih intuitif dan mudah, lengkap dengan gedung aplikasi mereka sendiri!

Dengan menggunakan NAS, anda juga boleh menyambung NAS anda ke internet. Ini membolehkan anda mengakses fail anda walau di mana anda berada. Jadi, tak perlu lagi risau tertinggal pendrive anda ketika mahu bertemu klien. Akses saja NAS anda di rumah dengan internet dan data anda boleh dimuat turun walau di mana saja anda berada. Ia seperti anda mempunyai simpanan awan peribadi.

Tidak perlu bimbang dengan ancaman jenayah di internet seperti penggodaman dan juga ransomware kerana NAS juga mempunyai sokongan  daripada pengeluar untuk  keselamatan. Sekiranya anda mengikuti segala saranan dan tetapan keselamatan daripada pengeluar, anda boleh menghindari ancaman siber pada unit NAS anda. Secara mudahnya, setiap NAS sudah terpasang dengan antivirus khas mereka sendiri dan sentiasa terhubung dengan kemaskini daripada pengeluar.

Jujurnya, sekiranya anda melihat harga NAS di pasaran ketika ini, mungkin anda akan terkejut melihat harganya boleh mencecah sehingga lebih daripada RM10 ribu ringgit! Namun begitu, dengan mengambil kira penjimatan jangka masa panjang dan juga keselamatan data, sememangnya ia adalah pilihan dan pelaburan yang lebih tepat.

Mobile Ads

Apa pendapat anda?Cancel reply

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
wpDiscuz
0
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x
Exit mobile version