Android GO : Siri Android Terbaru Dari Google Untuk Peranti Berspesifikasi Rendah

MWC 2018 baru sahaja berlalu dan banyak pengumuman dunia teknologi telah diumumkan. MWC seringkali menjadi tumpuan para penggemar gajet dan pemain industri dalam menilai dan mengikuti perkembangan terkini kebolehan, rancangan, dan pencapaian para pengeluar. Namun, apa yang paling menarik perhatian pada kali ini bagi saya ialah, sebuah lagi projek terbaru daripada Google iaitu Android GO.

 

 

Apa Itu Android GO?

Android GO, ataupun seperti yang dijenamakan oleh Google sebagai Android Oreo (Go Edition) , merupakan satu cabang lain dalam versi Android sedia ada. Ia memfokuskan untuk membolehkan telefon dengan spesifikasi rendah menikmati fungsi dan versi Android terkini tanpa mengorbankan integrasi servis Google sedia ada dan terkini. Spesifikasi rendah di sini bukan bermaksud telefon pada kelas pertengahan, tetapi telefon yang benar-benar mempunyai spesifikasi rendah seperti awal 2012 dahulu. Maksudnya, peranti yang memiliki kuasa pemprosesan yang sangat rendah, ruangan storan dalaman yang terhad, dan juga saiz RAM yang kecil.

 

Ideanya ialah, Google telah mengeluarkan statistik dan juga telah membuat rumusan bahawa taburan pengguna Android di seluruh dunia semakin meningkat. Antara pasaran yang dijangkakan oleh Google yang bakal menjadi pasaran terbesar dari segi jumlah pengguna ialah negara membangun seperti India. Negara seperti India ( dan mungkin juga Malaysia? ) mempunyai ramai pengguna yang sangat mementingkan bajet dalam membeli peranti baru dan juga mempunyai sambungan internet yang sangat terhad daripada segi kebolehcapaian dan juga jumlah kuota penggunaan.

 

Apa Matlamat Google Dengan Android GO?

 

Matlamat dan prinsip dalam Android GO seperti yang telah diterangkan oleh Google ialah :

  • Memfokuskan kepada peranti dengan spesifikasi rendah iaitu dengan RAM 1GB dan ke bawah.
  • Mengecilkan saiz pemasangan keseluruhan sistem operasi Android dan juga pakej aplikasi Android GO kurang daripada 3GB.
  • Membina aplikasi khusus untuk Android GO supaya menggunakan lebih sedikit data dan ruangan simpanan berbanding aplikasi biasa.
  • Membolehkan peranti bersepesifikasi rendah menikmati versi Android terkini dengan prestasi yang lancar dan pantas.

 

Aplikasi Khas Android GO Setakat Ini?

Google GO dan Google Assistant GO

– Sama seperti perisian biasa tetapi hadir dengan saiz yang lebih kecil. Ia juga mempunyai beberapa limitasi contohnya, anda tidak boleh mengaktifkannya dengan arahan suara “Ok Google” tetapi perlu menekan butang terlebih dahulu. Namun secara asasnya, hampir kebanyakan fungsi masih ada kerana servis ini banyak menggunakan pemprosesan di perkomputeran awan dan bukan terbina dalam pada peranti.

 

 

Gboard GO, Maps GO dan Gmail GO

– Juga sama, tiada perbezaan ketara dapat dilihat daripada antaramuka dan juga fungsinya. Namun apa yang pasti, ia hadir dalam pakej pemasangan yang lebih kecil berbanding biasa.

 

 

Chrome

– Pelayar web Chrome pada Android GO akan hadir dengan pilihan penjimat data dibuka secara lalai.

 

Youtube GO

– Seperti mana yang pernah ditulis oleh kami sebelumnya di sini, Youtube GO menawarkan fungsi untuk memuat turun video kegemaran anda di Youtube dan menontonnya semula secara luar talian tanpa talian internet.

 

 

Files GO

– Merupakan aplikasi pengurus fail daripada Google. Ia akan memaklumkan anda untuk membuang fail yang tidak perlu di dalam storan anda seperti fail-fail lama, cache dan juga gambar kamera dan selfie yang tidak bagus (menakutkan). Ia juga memberi pilihan mudah untuk menghantar dan menerima fail melalui aplikasi ini.

 

 

Apa yang boleh saya rumuskan, pengumuman ini adalah sesuatu yang sangat menarik minat saya malah lebih menarik daripada pengumuman Samsung Galaxy S9 di acara yang sama. Pengeluar SoC utama dunia, Qualcomm dan Mediatek juga telah memberi kata putus untuk menyokong langkah dan visi Google menerusi Android GO mereka. Adakah ini akan kembali merancakkan pembangunan custom ROM pada peranti-peranti lama? Sama-sama kita nantikan.

 

Masihkah ada harapan buatmu?
Murung Mohowongso
Murung Mohowongsohttp://omghackers.com
Hobi saya membeli belah atas talian. Ketagih dalam mengumpul gajet dan semua mainan yang tidak mampu dibeli semasa zaman kanak-kanak dahulu. Akan ambil masa minima 2 minggu membaca review dan buat ulangkaji sebelum membeli sebarang produk. Sangat tidak suka berpura-pura dan juga orang yang berpura-pura. Asertif dan introvert, tapi tak pernah biadap. Hubungi saya di [email protected]

Artikel Terkini

spot_imgspot_img

Artikel Berkaitan

1 Comment

Apa pendapat anda?

1 Comment
Oldest
Newest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
spot_imgspot_img
1
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x