AMP Ads
Mobile Ads
Home Editorial AKU : Sebuah Monolog Kehidupan – Bab 3; Mata Ketiga

AKU : Sebuah Monolog Kehidupan – Bab 3; Mata Ketiga

2
Mobile Ads

Hari ini aku datang kerja dihujani pelbagai soalan dari bos. Aku baru lepas bercuti panjang. Naik kerja hari ini terus dipersalahkan atas hal yang berlaku dalam tempoh aku bercuti. Ya. Orang selalu kata, kerja dengan ramai perempuan dalam satu pejabat dan jadi satu-satunya lelaki dalam jabatan memang celaka. Tapi aku tak sangka pula akan jadi se-celaka ini. Hal nya remeh amat. Mangga kunci pejabat rosak. Bos terus marah-marah aku kenapa tidak dimaklumkan kunci rosak? Mana lah aku tahu, aku cuti! Habis tu, seminggu ini, siapa yang kunci?! Ini tak lain tak bukan, sebab ada yang meracun pagi-pagi buta lagi.

 

 

Terus aku start kereta pergi ke Mr DIY. Aku beli mangga SOLEX yang paling besar. Aku letakkan di kaunter sambut tetamu. Bos tengok saja. Tadi masa aku keluar nampak macam marah. Dia tak tahu lagi marah aku macam mana. Bos datang beritahu aku, nanti claim duit tabung harga SOLEX tu. Aku beritahu bos, “Tak payah. Saya belanja. Nampak lapar kunci mangga sangat pejabat ni.” Rugi duit tak apa, janji puas hati. Mulut, kalau kuat bercakap tak mengapa. Tapi kalau kuat mengumpat, ini yang jadi masalah. Kuman seberang lautan nampak, gajah di depan mata buat tak tahu.

 

Peristiwa pagi ini buat aku teringat kisah aku di waktu kanak-kanak dulu. Aku pernah dimasukkan ke wad psikiatri kanak-kanak malah diletakkan dalam pengawasan. Puncanya? Aku sering mendengar bunyi burung dan ternampak kelibat burung, orang, dan objek yang tidak dapat dilihat orang lain. Kadang-kadang aku terdengar bunyi burung gagak, dan ternampak kelibat burung gagak. Hal ini tidak menjadi masalah sebenarnya. Cumanya, hal ini merisaukan ibuku kerana seumur hidup aku, menurut ibu, belum pernah aku melihat burung gagak walau di televisyen! Aku pada waktu itu cuma berusia 4 atau 5 tahun.

 

Di klinik, aku berjumpa dengan doktor pakar. Habis diketuk semua sendi. Diletak stetoskop di seluruh tubuh. Menurut doktor, mungkin aku cuma berimaginasi. Ibuku tetap membantah. Doktor kemudiannya mula menanyakan soalan-soalan lain. Apa jawapanku, sudah aku lupa. Tapi aku ingat muka doktor berkerut lalu memberikan tarikh untuk aku masuk wad. Anehnya, sepanjang tempoh aku berada di dalam wad, aku sudah lupa apa yang berlaku.

 

 

Apa yang aku ingat, pada suatu pagi aku berjalan dengan ibuku sambil diiringi seorang kakak jururawat masuk ke dalam bilik gelap. Di dalam bilik ini, aku diminta membuka butang baju lalu berbaring di atas katil. Lampu kuning terang disuluh ke mukaku. Seorang wanita menyapa aku dengan mesra. Katanya nanti dia akan buka satu lagi lampu tapi lampu itu terang. Jadi aku diminta untuk menutup mata. Aku mengiyakan tanda faham. Lalu rambut aku dibasuh sehingga basah. Wayar-wayar diletak di dada dan kepalaku. Tangan diikat pada katil, takut aku garu kepala katanya. Perincian lain aku tak ingat. “Ok adik, tutup mata ye?”. Tap! Bunyi suis dibuka. Terpancar cahaya terang menyuluh mukaku. Terasa membahang di kepala. Proses ini berulang sebanyak 2-3 kali.

 

 

Apa yang dibuat di dalam bilik itu juga sudah aku lupa. Tapi apa yang aku ingat lagi, seminggu rambut aku terpacak. Mulut juga terasa payau dan kering. Aku malu dan marah pada doktor kerana menjadikan rambut aku sebegitu. Tapi pandai ibu memujukku. Ibu kata rambut aku dah macam ultraman. Terus aku berlagak pula dengan rambut terpacak itu. Rambut aku tetap terpacak walau selepas aku mandi.

 

Sampai ke hari ini, aku pun tak tahu apa sebenarnya yang berlaku. Tapi hospital yang aku pergi tersebut kini sudah menjadi hospital terkenal. Sebuah hospital universiti. Aku ada bertanya kepada ibu hal ini. Ibu cuma acuh tak acuh. Katanya doktor saja scan kepala aku. Sepatutnya orang biasa ada satu, tapi aku ada dua. Apa yang satu, apa yang dua, aku pun tak tahu. Tak ada kah bijak pandai yang boleh merungkaikan persoalan aku ini?

 

“Manusia itu tak kan pernah merasakan nikmatnya terang, selagi belum pernah terseksa dengan kegelapan.”

Mobile Ads

Apa pendapat anda?Cancel reply

2 Comments
Oldest
Newest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments

Pusar di kepala ada dua..

engko ada deria ke6 ke admin

wpDiscuz
2
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x
Exit mobile version