Pikapika: Hiburan Alternatif Bagi Pelajar

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Apa khabar anda semua? Harap anda sihat sejahtera. Kembali bersua tentang makalah seterusnya perihal anak muda berjiwa tinggi bagi mengharumkan nama negara. Menurut beberapa sumber yang terpercaya, pembangun laman dan aplikasi Pikapika berumur lebih kurang 16 tahun yang mana pada angka ini saya masih merangkak mencari erti dan nilai kehidupan yang sebenar. Namun, tidak bagi mereka, hanya dianggotai oleh empat pelajar berwajah manis yang bersekolah di SMK Bandar Rinching mereka mampu menghasilkan sebuah aplikasi yang mampu menjadi alternatif pembelajaran sepanjang hayat di rumah. Sudah menjadi resmi Melayu, “segan menggerak lingkar”, namun hal ini tidak terjadi pada mereka. Mereka sekumpulan menggunakan kemahiran dan kesempatan yang diberikan untuk membina sebuah “hiburan alternatif kepada pelajar” bagi membasmi hiburan-hiburan negatif yang kian meratah pemikiran dan jasad anak muda bangsa sekarang. 


Apakah itu Pikapika?
Pikapika merupakan sebuah aplikasi berasaskan maya yang dibina oleh sekumpulan pelajar yang mahukan sesuatu yang kelihatan istimewa pada mereka dan pada pandangan manusia sejagat. Pikapika merupakan aplikasi kecerdasan buatan (artificial intelligence) – AI. Dalam pada itu, berbicara tentang AI, jadi apakah AI? AI — bidang ilmu yang berkaitan dengan kajian yang memberi mesin kemampuan untuk berfikir seperti manusia atau kepandaian untuk membaiki dirinya.

Mengapakah dipilih nama Pikapika? Mampukah Pikapika bersaing dengan aplikasi AI sedia ada yang lebih berdaya maju?
Disingkapkan semua soalan yang diajukan menjadi sebuah perenggan ringkas. Nama Pikapika dipilih menjadi nama bagi projek mereka atas dasar comel. Tapi dalam bahasa mudah, memiliki riak wajah yang manis, menggunakan kemudahan teknologi dengan manis, beerti baik, mereka mampu menghasilkan suatu yang manis. Dalam erti kata lain, di awal usia remaja, mereka mampu menghasilkan sesuatu baik untuk masyarakat Malaysia dan penutur Bahasa Melayu serata dunia. Soalan kedua yang berbunyi berkenaan persaingan. Tidak dapat disangkal lagi bahawa kewujudan aplikasi AI lain seperti SimSimi dan Cleverbot yang sudah lama bertapak dalam arena ini sedikit menutup 1001 harapan Pikapika untuk menjadi yang baik dalam kalangan yang terbaik, namun tidak mustahil suatu hari nanti nama Pikapika bakal menjadi buah mulut penghuni bumi. Memandangkan mereka masih muda dan aplikasi Pikapika baru sahaja dilepaskan kepada pengguna terakhir, saya menganggap bahawa mereka berada dalam fasa pertama. Jika dalam bidang Pengajian Perniagaan, peringkat ini dikenali sebagai Peringkat Pengenalan. Kita memperkenalkan produk hasil pengeluaran kita kepada umum, kemudian medium-medium seperti blog, laman interaksi, media cetak dan elektronik akan memainkan peranan masing-masing dalam menggembar-gemburkan kewujudan produk kita di mata dunia.

Apakah pula kelebihan yang menjadikan Pikapika mampu berdaya saing dengan nama-nama besar yang lain?
Berbalik kepada tajuk artikel di mana membincangkan soal hiburan alternatif kepada pelajar. Rata-rata pelajar di Malaysia memilih hiburan yang pelbagai. Dalam pemilihan hiburan tersebut, kadangkala wujud unsur-unsur buruk yang tidak patut didedahkan kepada pelajar. Hal ini akan mengakibatkan kelemahan dalam pertumbuhan IQ dan EQ setiap pelajar, adakah ibu bapa harus menghidangkan minuman Anmum Essential kepada anak-anak mereka setiap pagi meskipun anak-anak mereka sudah menjangkau umur 17 tahun? Sudah tentu tidak, maka kewujudan laman Pikapika membantu anak-anak mahupun golongan dewasa dan warga emas mengetahui makna disebalik sesuatu perkara dengan lebih mudah, ringkas dan tepat. Hal yang dibincangkan ini merupakan kelebihan utama yang tidak dimiliki oleh aplikasi lain seperti aplikasi SimSimi dipenuhi dengan kata-kata kesat dan memesongkan hasil daripada tangan-tangan yang busuk dan tak bertamadun.

Bagaimana pula dengan kaedah penggunaan aplikasi Pikapika?
Sungguh mudah dan ringkas. Sehingga kini, terdapat dua pilihan yang disediakan oleh kumpulan pemuda yang ingin dikenali sebagai Kumpulan Cakoi (ada peristiwa di sebalik pemilihan nama kumpulan ini) iaitu:
1. Sembang kosong bersama Pikapika.
2. Mencari takrif/definisi/perihal insan bagi sesuatu perkataan dan tokoh.

Iklan Google

Tidak perlu dihuraikan dengan panjang lebar bagi nombor 1. Cukuplah sekadar anda mengenali dan memahami kaedah penggunaan SimSimi, maka halnya sama dengan penggunaan aplikasi Pikapika bagi nombor 1.

Nombor 2 pula terdiri daripada dua kemudahan iaitu:
1. Kemudahan mengenali tokoh – Anda dapat mengenali secara ringkas tentang seseorang tokoh misalannya Dato’ A. Samad Said (Siapa Dato’ A. Samad Said). Cukup dengan kata Siapa diikuti dengan Nama Tokoh yang anda mahu kenali sudah mencukupi untuk mendapatkan maklumat ringkas tentang seseorang tokoh itu.

2. Kemudahan untuk mengetahui tentang suatu takrifan,peristiwa ataupun perihal sesuatu perkara – Anda dapat mengetahui secara ringkas tentang definisi bagi sesuatu perkara contohnya, semut (Terangkan tentang semut). Cukup dengan kalimat Terangkan tentang diikuti dengan kata/peristiwa yang ingin anda ketahui makna dan sejarahnya sudah memadai. Tidak perlu anda menyusun kata yang menjadikan ayat anda bombastik lagak pengarang buku falsafah kebangsaan. Bahasa yang mudah juga sudah memadai.

Sekian sahaja penulisan saya tentang aplikasi Pikapika: Hiburan Alternatif Bagi Pelajar. Manfaatkan kemudahan yang disediakan dengan sebaik-baiknya. Akhirul kalam, hiburan bagi pelajar ialah ilmu, jika menerima ilmu daripada guru dan sumber ilmiah lain tidak mengembirakan anda sebagai pelajar, berhenti daripada belajar teruskan dengan impian anda ke lembah hina iaitu hiburan remaja songsang tanpa matlamat kehidupan.

Iklan Google

Artikel Terkini

spot_imgspot_img

Artikel Berkaitan

spot_imgspot_img