Tahun 2020 telah berlalu. Satu wawasan dan visi kononnya kita akan muncul sebagai negara maju hanya tinggal kenangan dan angan-angan. Jangankan kata menuju negara maju, malahan kita masih lagi digelumangi dengan masalah dan beban sebuah negara yang mundur dan terkebelakang. Capaian teknologi maklumat yang lemah, pengetahuan teknologi yang rendah di kalangan rakyat, kurangnya pengetahuan tentang hak dan penjagaan privasi, serta betapa parahnya sistem pengurusan data keselamatan.
Ini dapat dilihat dengan jelas apabila murid sekolah terpaksa mendaki bukit dan gunung, meredah ranjau dan duri, memanjat pokok dan lereng hanya semata-mata ingin mendapatkan capaian asas internet bagi pembelajaran dalam talian. Sangat sedih dan tragis melihat rakyat di sebuah negara yang begitu gah dan bangga dan pencapaian golongan elit tetapi rakyat biasa masih lagi merana untuk mendapatkan kemudahan asas dan teknologi.
Kes-kes penipuan pembelian gajet dan peralatan elektronik juga semakin meningkat. Apabila kerajaan memperkenalkan inisiatif teknologi baharu seperti pembayaran tanpa sentuh dan juga penjagaan kesihatan, ada pula golongan yang mempersenda malah mengaitkan pula ia dengan teori konspirasi. Jika sebilangan kecil, boleh lah kita katakan sebagai isu kecil. Tetapi, bilangan mereka ramai dan membimbangkan. Malah semakin bertambah dan didoktrinkan pula kepada anak-anak mereka yang masih kecil!
Sama juga halnya dengan agensi kerajaan. Penjawat awam khususnya. Kerajaan telah memperkenalkan inisiatif pentadbiran secara tanpa kertas dan tanpa wayar. Dimulakan dengan perubahan besar melalui portal 1GovUC. Kini perkhidmatan ini telah dinaiktaraf pula kepada MyGovUC. Setiap penjawat awam telah diberikan satu emel dan akaun MyGovUC.
MyGovUC juga dilengkapi dengan sistem emel daripada IceWarp, satu servis yang selamat, privasi, malah dilengkapi dengan fungsi panggilan video dan simpanan data di atas awan. Saya tidak rasa servis ini murah untuk ditanggung kerajaaan. Namun, masih ramai pegawai-pegawai atasan berdegil untuk melaksanakan mesyuarat dan kursus sewaktu PKP menggunakan laman awam seperti Facebook, Zoom dan Google Meet. Apa guna kerajaan menanggung kos IceWarp sekiranya tidak digunakan pun? Pegawai-pegawai dan penjawat seharusnya celik IT dan mendokong tinggi aspirasi kerajaan ke arah memacu perkembangan teknologi kerajaan, bukan sebaliknya.
Kita lihat pula kepada kes-kes melibatkan privasi dan hak-hak kita sebagai seorang individu bebas. Percaya atau tidak, Malaysia masih lagi tidak mempunya akta yang khas dan spesifik untuk menjaga hak privasi. Kita ada Personal Data Protection Act 2010 (PDPA), tapi akta ini hanya menggariskan panduan untuk keselamatan data di persekitaran komersil.
Selain PDPA, kita juga ada Communications and Multimedia Act 1998 yang menghalang penyiaran sebarang media dengan tujuan untuk menimbulkan kekacauan ataupun sebarang kandungan yang bersifat untuk mendatangkan bahaya kepada seseorang. Tetapi akta ini juga lebih kepada pengawalan terhadap kandungan penyiaran, bukannya untuk menjaga hak privasi secara khusus.
Masyarakat secara mudah menerima dan menjadikan kelakuan mengganggu dan mengacau privasi itu sesuatu yang normal dan norma. Apabila ada pegawai, pekerja, atau penguatkuasa mencuri nombor telefon daripada pelanggan dan orang awam pula, itu adalah perkara biasa dan tidak perlu diperbesarkan atas alasan “itu usaha cari jodoh“. Sedarkah anda, ini adalah satu pelanggaran etika kerja dan pencerobohan hak privasi yang serius? Anda sudah masuk ke kategori stalker. Jika benar ingin mencari jodoh, minta sahajalah secara berdepan. Tidak perlu menggunakan kuasa dan kedudukan sebagai seorang pekerja untuk mencuri data dan maklumat orang lain.
Tidak kiralah sama ada anda lelaki atau wanita, pegawai bank atau penghantar makanan, anda tidak boleh sesekali menggunakan data dan maklumat yang anda perolehi melalui kerja dan kedudukan anda untuk tujuan peribadi. Walaupun individu yang anda ingin berkenalan itu bekerja sebagai GRO sekalipun, itu tidak boleh menjadi hak dan alasan anda untuk menceroboh privasi mereka. Ingin berkenalan, berkenalanlah sebagai seorang manusia yang ingin mengenali manusia yang lain. Bukannya menyalahgunakan kuasa dan akses anda kepada maklumat peribadi orang lain.
Beralih kepada isu melibatkan pengendalian data peribadi dan keselamatan dalam penyimpanan data. Kita dapat lihat menerusi #OpsWakeUp21 yang telah menceroboh pelbagai laman dan database kerajaan dan juga komersil. Mereka tidak melakukan sebarang aktiviti yang berisiko setakat ini tetapi cuma memaparkan bukti pencerobohan sistem.
Namun setakat ini, apa tindakan daripada pihak yang telah “diuji” oleh #OpsWakeUp21 ini? Sekadar menyalahkan dan marah-marah. Walhal, mereka seharusnya berasa malu dan bersyukur kerana kelemahan sistem mereka telah didedahkan malah diberi peluang pula untuk membuat penambahbaikan. Bayangkan pula jika yang menceroboh mereka itu adalah penggodam yang berniat jahat?
Lebih parah lagi, apabila ada saja laporan daripada media mengenai penggodaman, pihak yang terlibat menyerang pula media dengan gelaran-gelaran yang tidak sopan dan sombong. Sedangkan, media adalah media. Tugas media adalah melaporkan dan menerima maklumat. Penggodam juga biasanya akan menghantar maklumat secara kaedah hantar dan bakar kepada media untuk tujuan hebahan dan cabaran kepada pihak yang digodam.
Akan tetapi, bendul sekali langkah di Malaysia kerana apabila ada sahaja berita penggodaman, maka media lah yang akan dijadikan watak jahat kononnya ingin menjatuhkan organisasi dan individu yang digodam. Seharusnya, langkah awal mereka apabila menerima berita adalah siasat dahulu dakwaaan yang didakwa oleh penggodam dan lakukan langkah pemulihan sekiranya benar ada godaman. Sekiranya tidak benar, buat penafian rasmi dan hantarkan siaran media kepada media. Ini adalah isu yang sama dan berulang-ulang dan antara faktor yang saya secara peribadinya, merasakan #OpsWakeUp21 ini juga akan menemui jalan buntu dan gagal mencapai matlamat mereka.