SalamWeb ialah pelayar web pertama (kalau tak salah saya) yang diiktiraf sebagai ‘patuh syariah’, dan juga mesra Muslim apabila ia memasukkan beberapa ciri eksklusif seperti SalamToday, SalamSadaqah, dan sebagainya.
Mungkin ia bukan untuk semua orang, kerana ada yang dah terbiasa dengan pelayar sumber terbuka seperti Firefox, dan ada juga yang dah selesa dengan ekosistem Google lalu memilih untuk setia kepada Chrome.
Pelayar ini secara asasnya tidak jauh pun berbeza dengan Chrome, malah mungkin sedikit lebih lancar (smooth). Cuma antara cirinya yang saya rasa boleh dijadikan sandaran ialah kompas arah kiblat dan pengingat waktu solat.
Mudah sahaja caranya untuk kita manfaatkan ciri kompas penunjuk arah kiblat tersebut.
Bagaimana? Anda muat turun terlebih dahulu di: SalamWeb.
Bergantung kepada peranti apa yang sedang anda gunakan sekarang, anda boleh jadikan panduan ini sebagai… yeah, panduan.
1. Pertama sekali, pengguna perlulah aktifkan ‘location services’ pada telefon. Jika anda gunakan laptop, pandai-pandailah sesuaikan diri ya. Sebaiknya kalau nak mudah gunakan sahajalah di telefon pintar.
2. Setelah itu, buka pelayar SalamWeb,dan cari widget ‘Qibla’ pada laman (tab) baru.
3. Anda akan dapat lihat berapa darjahkah arah kiblat yang telah ditentukan mengikut lokasi semasa.
Sebagai contoh, saya berada di Putrajaya dan ia mengarah untuk halakan telefon kepada 293°. Jika disemak menggunakan aplikasi myJakim pula, ia mengarah untuk dihalakan kepada 292°.
Mengikut tips dari myJakim, anda perlulah melakukan calibration atau penentukuran terlebih dahulu bagi mendapatkan arah kiblat yang tepat.
Berikut adalah caranya:
Lakukan penentukuran di telefon bimbit anda beberapa minit terlebih dahulu.
Teknik menentukur ini penting bagi memastikan kompas yang terdapat dalam telefon bimbit dapat berfungsi dengan baik dan betul. Cara membuat tentukur adalah berbeza mengikut sistem operasi telefon bimbit. Sebagai contoh kebiasaan bagi pengguna android, untuk buat tentukur pengguna perlu menggerakkan telefon dalam pusingan nombor 8.
Untuk menyemak arah kiblat pula:
1. Pengguna perlu berada ditengah-tengah ruang bilik bagi mengelakkan dari sebarang tarikan daya elektromagnetik sama ada bahan-bahan berkaitan besi atau arus gelombang elektrik.
2. Pengguna perlu meletakkan telefon selaras dengan dada ketika berdiri bagi mengelakkan pengaruh elektromagnetik tersebut.
3. Elakkan telefon diletakkan di atas lantai atau berdekatan dengan dinding bilik. Seterusnya, mula mengarahkan telefon tersebut mengikut kepada kecondongan darjah yang telah ditetapkan. Selesai.