Kalau terma ‘machine learning’ dan ‘artificial intelligence’ membuatkan anda terasa seperti sedang berada dalam filem, maka terma baru ini iaitu Robotic Process Automation (RPA) akan buat anda terkesima apabila ia akan berkait secara langsung dengan hidup anda.
Apa Itu Robotic Process Automation (RPA)?
RPA ialah satu teknologi baharu yang membenarkan mana-mana individu untuk membuat konfigurasi atau tetapan perisian komputer, atau boleh digelar sebagai ‘robot’ untuk membuat kerja-kerja berinteraksi dengan sistem digital bagi melancarkan proses-proses bisnes harian.
‘Robot’ yang dimaksudkan bukanlah robot fizikal seperti dalam filem Terminator (cyborg), sebaliknya ia merupakan proses automasi dari perisian pada mesin fizikal atau maya.
RPA dicipta secara khusus bagi menyiapkan tugasan berulang berasaskan komputer dan juga kerja-kerja harian di pejabat.
Idea asasnya ialah buat satu perisian bagi mengambil alih kerja-kerja tersebut, dalam usaha menggantikan manusia dalam melakukan kerja seperti mengklik butang, menyalin tampal nilai, dan menaip data ke dalam ruang kerja.
Jika kerja tersebut boleh dilakukan berulang-ulang secara tetap, maka ia boleh diprogramkan. Hanya perlu tambah kecerdasan buatan dan anda akan dapat RPA pintar yang mampu ‘berfikir’ sendiri.
Kerja seperti memproses borang tuntutan dan borang cuti akan dapat dibuat dengan lebih cepat sebaik sahaja ia diserahkan. Tidak lagi perlu bergantung kepada manusia yang bias, selalu cuti/MC, atau ‘konon sibuk’ 24 jam.
Secara asasnya idea ini akan dapat membuatkan pejabat terus bergerak tanpa manusia dan nadinya hanyalah perisian.
Persoalan utama yang menjadi buah fikiran ketika ini ialah adakah RPA bakal membuat ramai pekerja hilang punca pendapatan apabila digantikan dengan perisian yang kurang bayaran penyeliaannya (mungkin) berbanding membayar gaji pekerja?
Ia juga memang akan buat interaksi ‘orang besar’ dengan pekerja bahawannya menjadi kurang atau bahkan tiada, apabila hanya ‘robot’ yang menguruskan semua borang.
Unit Sumber Manusia dan unit pentadbir tidak lagi memerlukan ‘budak pejabat’. Apa yang tinggal di pejabat hanyalah ‘bos’ sahaja.
Adakah ini yang mereka inginkan?
Adakah ini matlamat akhir, mengurangkan ‘beban’ tanggungan pekerja dengan memecat mereka semua?
Mungkin saya tersalah erti atau tanggapan, namun ini boleh menjadi salah satu kemungkinan, melainkan kilang atau tempat anda bekerja memang memerlukan tenaga pekerja ‘asli’ dari manusia, contohnya kilang percetakan. Itu pun bukan semua bahagian memerlukannya.
Sama-samalah kita nantikan permulaan era RPA di Malaysia ini.