AMP Ads
Mobile Ads
Home Pilihan OMG Artikel 5G Di Malaysia: Dilema Antara Kelebihan Dan Kekurangan Entiti Tunggal

5G Di Malaysia: Dilema Antara Kelebihan Dan Kekurangan Entiti Tunggal

0
Mobile Ads

Persoalan sedang ditimbulkan sama ada pelancaran rangkaian 5G yang diterajui kerajaan, sebuah entiti tunggal – akan meletakkan syarikat telekomunikasi swasta (telco) pada kedudukan yang tidak menguntungkan.

Sementara DNB, iaitu syarikat kenderaan tujuan khas (SPV) milik kerajaan sedang berusaha bekerjasama dengan telco untuk melancarkan 5G di negara ini, terdapat dua set pemikiran yang masih berlegar menjadi dilema sesama mereka.

Di satu pihak, dengan kerajaan sebagai pemilik tunggal spektrum dan infrastruktur 5G, syarikat telekomunikasi tidak akan dibebani dengan perbelanjaan modal pendahuluan yang berat berbanding infrastruktur 5G yang digunakan secara individu.

Tidak seperti Malaysia, banyak negara telah menggunakan pendekatan lelongan yang membolehkan kerajaan memperuntukkan gelombang frekuensi 5G kepada pembida tertinggi. Walau bagaimanapun, lelongan kompetitif akan membawa kepada kos permulaan yang lebih tinggi untuk syarikat telekomunikasi dan menyebabkan tekanan aliran tunai.

Model SPV Malaysia boleh mengelak isu sebegitu dan pada masa yang sama mewujudkan medan permainan sama rata. Sebaliknya, terdapat kebimbangan bahawa pendekatan Malaysia akan menjejaskan margin syarikat telekomunikasi dalam jangka panjang disebabkan kos tambahan.

Model SPV mungkin akan lebih mahal untuk dilaksanakan kerana ia akan diselaraskan secara berpusat. Kos tinggi yang dikaitkan dengan pelancaran entiti tunggal mungkin akan diserahkan kepada pengendali perkhidmatan dalam bentuk kos borong yang lebih tinggi.

Seterusnya pengendali akan mendapati sukar untuk mengeluarkan margin yang lebih tinggi daripada menjual perkhidmatan ini kepada pelanggan mereka.

Keuntungan yang lebih rendah juga bermakna kurang dana bagi pengendali untuk melabur dalam pembangunan perkhidmatan, dan melemahkan keupayaan pengendali untuk membezakan diri mereka daripada syarikat pesaing.

Perkhidmatan nilai tambah (value-addes services) akan menjadi kunci bagi pengendali untuk mengembangkan pengaruh 5G mereka dan memberikan lebih nilai kepada pelanggan melangkaui kelajuan yang lebih pantas.

Atas sebab ini, syarikat telekomunikasi perlu memberi tumpuan kepada kualiti perkhidmatan dan produk, memandangkan tiada pemilikan spektrum oleh mereka. Telco seperti Maxis dan Celcom berkemungkinan akan kehilangan ‘keistimewaan’ dalam rangkaian mereka kerana 5G menjadi komoditi yang dikongsi di bawah model rangkaian borong tunggal (single wholesale network – SWN).

Syarikat telekomunikasi mungkin perlu melihat cara untuk menginovasi produk yang digabungkan dan melibatkan diri secara aktif dengan pelanggan mereka untuk memberikan pengalaman pelanggan yang baik dan unik berbanding pesaing. Bagaimanapun, memandangkan terdapat pengurangan beban modal awal untuk syarikat telekomunikasi di bawah model SPV, ia membuka jalan untuk hasil dividen yang mampan bagi syarikat-syarikat lain seperti Digi.

Perlu diperhatikan bahawa syarikat telekomunikasi telah membelanjakan 11% hingga 15% dari hasil perkhidmatan mereka untuk melancarkan 3G di seluruh negara dan 13% hingga 16% pula untuk rangkaian 4G.

Di tengah-tengah kebimbangan mengenai pendekatan SPV untuk melancarkan 5G, penganalisis TA Securities Research, Wilson Loo percaya model entiti tunggal adalah ‘ideal’ untuk sektor telekomunikasi.

Beliau berkata syarikat telekomunikasi juga akan dapat terus fokus pada usaha untuk memenuhi sasaran sambungan mudah alih tetap dan 4G di bawah pelan infrastruktur digital nasional.

Telco akan mengelakkan beban belanja modal yang berat dan tekanan aliran tunai yang terlibat dalam pelancaran 5G jika digunakan secara individu (pelaburan dalam rangkaian 5G dianggarkan menelan belanja 25% hingga 75% – lebih dari 4G) manakala pengguna akan mendapat manfaat dari akses kepada perkhidmatan 5G pada tarif yang kompetitif.

Di samping itu, oleh kerana penggunaan 5G berkemungkinan akan meningkatkan permintaan untuk gentian, pemain talian tetap seperti Telekom Malaysia dan TIME Dotcom akan mendapat manfaat daripada pembangunan itu.

Namun begitu, risiko terbesar untuk pelancaran 5G adalah pada keupayaan SPV untuk melaksanakannya seperti yang dijanjikan. Kerajaan telah berkata bahawa SPV yang dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan, akan diberikan spektrum 700MHz, 3,500MHz dan 28GHz untuk memiliki, melaksana dan mengurus infrastruktur 5G di seluruh negara selama 10 tahun.

Beroperasi melalui model borong, syarikat telekomunikasi akan dibenarkan untuk mengakses rangkaian dengan kadar dan terma yang dikawal. Secara keseluruhannya, RM15 bilion akan dilaburkan dalam tempoh 10 tahun dengan belanjawan didahulukan.

Perkhidmatan 5G disasarkan untuk tersedia secara terpilih mulai akhir 2021. Dengan spektrum 5G menjadi komoditi yang dikongsi, nampaknya persaingan akan semakin sengit dalam industri telekomunikasi di Malaysia.

Mobile Ads

Apa pendapat anda?Cancel reply

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
wpDiscuz
0
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x
Exit mobile version