WonderFox HD Video Converter Factory Pro : Bukan Sekadar Converter Biasa

 

Terima kasih kepada WonderFox kerana telah mengirimkan perisian pengubah video terbaru mereka kepada kami iaitu HD Video Converter Factory Pro. Setelah lebih daripada sehari penggunaan penuh, ini adalah ulasan daripada kami mengenai perisian yang mendapat banyak respons positif ini.

Bagi seorang penggemar filem dan drama seperti saya, tidak dapat dinafikan ruangan penyimpanan cakera dipenuhi dengan pelbagai episod dan siri sehingga kekurangan ruangan untuk menyimpan fail-fail berkaitan kerja. Itu belum masuk lagi dengan fail permainan video dan anime, 2TB pun belum tentu cukup. Hendak dibuang, sayang. Hendak disimpan, menyusahkan. Maka pilihan yang terbaik adalah arkibkan saja ke format .zip atau .tar. Tapi penyimpanan dalam bentuk arkib ini kadangkala melecehkan kerana jika anda ingin menonton secara sepintas lalu, ia mustahil kerana anda harus unzip dahulu fail anda sebelum boleh mula menonton. Sekiranya anda restart komputer, anda terpaksa unzip semula fail tadi. Rumit bukan? Masalah lain pula bagi “stokis” filem seperti saya, seringkali angin kemalasan melanda. Saya malas menghadap komputer maka saya pasangkan saja hard disk ke TV. Namun hampa kerana format video baru seperti .mkv dan audio .m4a gagal dimainkan oleh TV.

 

Maka di sinilah gunanya perisian WonderFox HD Video Converter Factory Pro ini. Ia menawarkan pemampatan saiz fail video sehingga 5X kali ganda mengikut kehendak pengguna. Jadi, anda boleh mengecilkan saiz video anda untuk penyimpanan tanpa pengurangan kualiti yang nyata. Di samping itu, kini anda boleh menonton filem kegemaran di TV dengan mengubah format video dalam simpanan ke format yang sesuai untuk TV anda.

 

 

Antaramuka perisian ini kelihatan agak ringkas dengan tona warna yang tidak ketara kontrasnya. Saya secara peribadi menyukai antaramuka bercirikan ringkas. Cuma bagi saya, adalah lebih elegan dan segar sekiranya tema warna perisian ini menggunakan tema gelap dengan saiz ikon yang lebih besar untuk memudahkan pengguna mencari butang-butang penting dalam kerja mereka.

 

 

 

WonderFox HD Video Converter Factory Pro juga telah menyediakan lebih daripada 300 format tetapan sedia ada untuk memudahkan proses penukaran format video. Penukaran format video untuk kegunaan peranti mudah alih juga turut mendapat sentuhan daripada pembangun dengan menu khas untuk jenama peranti terkenal seperti Sony dan Samsung. Dengan pilihan ini, pengguna tidak perlu tercari-cari lagi saiz dan format video yang sesuai untuk menonton pada peranti mereka. Tidak perlu lagi menonton dengan bar hitam pada peranti masing-masing yang disebabkan oleh saiz ratio video yang terlalu kecil atau terlalu besar untuk peranti anda. Ia juga turut menyokong format baru video seperti format .vp9 dan .mkv tanpa melupakan format popular yang terdahulu seperti .3gp dan .3gp2.

 

Maklumat pada antaramuka juga dilihat agak lengkap dan mudah. Saiz selepas pengubahan juga dinyatakan sebelum proses selesai untuk membantu pengguna memilih tetapan dan format yang sesuai dengan kehendak masing-masing. Dengan WonderFox HD Video Converter Factory Pro juga, anda menerima bersama pemprosesan audio berkualiti tinggi terbina dalam daripada Dolby, DTS dan Lossless untuk hasil pengekodan profesional.  WonderFox HD Video Converter Factory Pro berkebolehan untuk menyenarai 10 video untuk tugasan dalam satu-satu masa dengan fungsi auto shutdown apabila tugasan selesai. Sangat memudahkan terutamanya untuk fail yang besar. Jika anda inginkan tugasan anda selesai dengan automatik apabila anda bangun daripada tidur pada keesokan harinya, WonderFox HD Video Converter Factory Pro harus berada dalam senarai hajat anda. Dengan versi Pro yang berbayar, anda menerima 30X ke 50X kelajuan pemprosesan video dan pelbagai lagi fungsi tambahan yang tidak terdapat pada versi percubaan.

 

Selain daripada mengubah format video semata-mata, WonderFox HD Video Converter Factory Pro juga mempunyai fungsi tambahan dalam pemprosesan video. Antaranya, menaiktaraf kualiti video SD ke HD, membaiki masalah segerak di antara bunyi dan video, dan meningkatkan kelantangan audio dalam fail video. Fungsi lain yang menjadi kegemaran saya adalah kebolehan untuk membuang sarikata yang telah di hardcoded ke atas fail video. Sangat berguna untuk video hasil daripada memancing di teluk.

 

Fungsi Tambahan Seolah-olah Mempunyai Perisian Lain

Antara aspek menarik pada WonderFox HD Video Converter Factory Pro ialah fungsi tambahan pada perisian ini. Fungsi tambahan ini melangkaui daripada fungsi untuk mengubah format video. Kadangkala terasa seperti saya telah memasang banyak perisian berbeza kerana fungsi tambahan ini bukan lagi fungsi pengubah format video. Antara fungsi tambahan pada WonderFox HD Video Converter Factory Pro ialah :

1. Ringtone Maker

– Anda boleh memasukkan lagu kegemaran anda ke dalam WonderFox HD Video Converter Factory Pro untuk memotong lagu dan jadikan ia sebagai ringtone di telefon anda. Pada antaramuka Ringtone Maker, perisian ini telah memberikan pilihan khusus untuk peranti samada untuk iOS atau Android. Palang grafik semasa memainkan lagu juga memudahkan lagi proses memotong lagu pada bahagian yang dikehendaki. Cuma gerakkan penanda awal dan akhir dan Save pada bahagian yang dikehendaki. Lebih mudah berbanding perisian pemotong lagu lain yang menggunakan input masa dan bukan palang grafik seperti WonderFox HD Video Converter Factory Pro.

 

 

 

 

2. Video Downloader

– Ini fungsi yang saya tidak sangka ada pada WonderFox HD Video Converter Factory Pro kerana ia diiklankan sebagai perisian pengubah format video. Siapa sangka perisian ini ada fungsi untuk memuat turun video daripada laman kegemaran? Cuma masukkan URL dan WonderFox HD Video Converter Factory Pro akan menyenaraikan kesemua format yang boleh dimuat turun beserta dengan saiz muat turun. Pengguna juga boleh memilih direktori muat turun.

 

 

3. Movie Editor

– Ini juga salah satu fungsi yang tidak dijangka ada pada WonderFox HD Video Converter Factory Pro. Anda boleh menggabungkan video, melakukan crop, flip dan rotation, memasukkan kesan artistik dan membuang sarikata pada video yang anda kehendaki.

 

 

4. Auto Uploader

– Sangat berguna bagi pengeluar video. Mungkin anda ingin menjimatkan data dan ingin memuat naik video pada kualiti yang lebih rendah. WonderFox HD Video Converter Factory Pro boleh membantu anda dengan menawarkan fungsi Auto Uploader pada laman sesawang atau saluran video anda secara automatik setelah proses edit video dengan WonderFox HD Video Converter Factory Pro selesai.

 

 

Dengan saiz muat turun lebih kurang 56MB dan saiz pemasangan lebih kurang 112MB, siapa sangka WonderFox HD Video Converter Factory Pro menawarkan fungsi yang bagus dan lebih daripada sekadar perisian pengubah format video semata-mata.

 

Muat turun di : WonderFox HD Video Converter Factory Pro

 

Murung Mohowongso
Murung Mohowongsohttp://omghackers.com
Hobi saya membeli belah atas talian. Ketagih dalam mengumpul gajet dan semua mainan yang tidak mampu dibeli semasa zaman kanak-kanak dahulu. Akan ambil masa minima 2 minggu membaca review dan buat ulangkaji sebelum membeli sebarang produk. Sangat tidak suka berpura-pura dan juga orang yang berpura-pura. Asertif dan introvert, tapi tak pernah biadap. Hubungi saya di [email protected]

Artikel Terkini

spot_imgspot_img

Artikel Berkaitan

1 Comment

1 Comment
Oldest
Newest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
spot_imgspot_img