Hackim Si Penggodam: Monolog & Bab Satu

Monolog

Siapakah aku di dalam aku,
Yang menuruti kehendak waktu,
Atau larut di dalam masa, menanti hari yang dijanji,
Berjalan di atas al-ardh, atau terbang di dimensi astral,

Saraf perak itu entahkan bila putusnya,
Berselirat bersama salur-salur darah dan dawai,
Bersilang dengan kabel-kabel data dan memori zettabyte,
Mungkinkah nanti Izrail jua kan keliru,
Manakah letaknya nyawaku,

Cengkerang luaran ini kan pudar dan mereput,
Namun rekod Akashiknya tetap terus,
Hingga diri sebenar dipanggil kembali,
Oleh yang empunya diri,
Tunggu saat dan ketika, mungkin hari ini pengakhirannya.


Bab Satu [Chapter 1]

Hackim sampai awal di pejabatnya, seperti selalu. Seawal jam 7 pagi dia tiba, dek kerana jarak antara rumah dan pejabatnya yang sangat dekat. Tetapi entah kenapa hari itu hatinya terasa berdebar lain macam. Seakan ada sesuatu yang tidak ‘kena’ akan terjadi.

Nyata telahan Hackim benar.

Sewaktu Hackim turun dari tangga hendak menuju ke cafe, dia ditahan oleh beberapa individu berkot dan berkaca mata hitam. Waktu inilah hatinya terdetik “Alangkah bagus kalau aku turun dengan orang lain”. Inilah natijahnya apabila selalu sangat memencilkan diri.

“Encik Hackim, saya Saiful, orang yang buat panggilan kepada Encik Hackim beberapa hari lepas”. Individu yang berdiri di tengah seraya memperkenalkan dirinya.

“Oh ya, saya masih ingat. Ada apa ya ramai-ramai ni?”. Berkerut dahi Hackim melihat mereka. Masakan tidak, dia ditahan di pertengahan tangga, macam buat kesalahan yang besar dan ditahan oleh pihak berkuasa pula lagaknya.

“Kami nak encik ikut kami ke S.T.E.A.L.T.H. Center. Di sana nanti Profesor Arif akan menanti kehadiran encik”, pinta Saiful, nampaknya tanpa bertangguh.

“Baik, saya ikut. Tapi saya kena maklumkan kepada bos saya terlebih dahulu”.

“Encik jangan bimbang, segalanya dah diuruskan oleh pihak kami”. Saiful memandang Hackim sambil tersenyum kecil.

Kesemua mereka turun ke kawasan parking di tingkat bawah yang pertama, lalu menuju ke sebuah Alphard Hitam yang juga dipandu oleh individu berkot dan berkaca mata hitam, menunggu dengan muka serius.

STEALTH Center, 10.30 pagi.

Mereka tiba awal di Stealth Center, kerana tidak singgah di mana-mana untuk minum pagi seperti amalan biasa rakyat Malaysia.

Kehadiran Hackim disambut mesra oleh kakitangan Stealth, dengan senyuman ramah. Hackim disapa oleh seorang perempuan berkaca mata bingkai petak kecil, yang memintanya untuk terus ke pejabat Profesor Arif.

“Encik Hackim, Saya Rania. Profesor Arif minta saya iringi encik ke pejabat. Prof tunggu encik dekat sana”. Perempuan itu tersenyum manis.

“Baiklah, tunjukkan saya tempatnya”. Hackim tidak mahu melewatkan lagi perjumpaan ‘misteri’ itu.

Segala rasa lapar hilang apabila melihat suasana dan struktur reka bentuk pejabat Stealth Center yang amat moden sekali. Projektor hologram berada di mana-mana.

Sebaik tiba di depan muka pintu pejabat Profesor Arif, Hackim ingin mengetuk pintu, dengan harapan ianya adalah perbuatan ‘sopan’, namun dihalang Rania.

“Encik, dekat sini tiada orang yang ketuk pintu. Kami berinteraksi dengan Prof melalui alat komunikasi ini encik”, Rania seraya menunjukkan sebuah alat berbentuk bulat yang timbul di tepi sebelah kiri pintu.

Rania menekan sebuah butang biru kecil, dan apabila bunyi ‘bip’ dua kali bergema, satu suara garau bertutur.

“Rania ke tu? Ya ya, bawak dia masuk. Saya tak sabar nak bincang ni. Hahaha”. Suara tersebut ketawa pendek.

“Encik Hackim, silakan masuk”, jemput Rania, matanya dikecilkan. Nampak ayu sekali.

Pintu terbuka dengan sendirinya. Rupanya ia hanya boleh dibuka oleh orang tertentu, dengan enkripsi tertentu.

Dari jauh nampak seorang lelaki dalam pertengahan umur sedang duduk di mejanya, sambil memandang Hackim dengan pandangan yang penuh makna.

“Hackim, saya dah lama tunggu kamu. Bakat kamu, apa yang kamu tahu, buatkan saya tak sabar nak kamu berada di sini. Saya Profesor Arif, sayalah orangnya yang nak kamu datang ke mari, ke STEALTH Center ini”.

Lancar Profesor Arif memulakan bicara. Terpegun Hackim seketika. Kerana pada lelaki tersebut ada karisma, ada kebijaksanaan yang dapat dirasa.

“Tapi, kenapa saya Prof, dan, apa sebenarnya yang Prof nak dari saya? Saya bukan siapa-siapa”. Hackim menjawab laju. Hatinya mempunyai banyak persoalan berat yang perlu dirungkai.

“Begini. Saya sebenarnya sedang menjalankan sebuah kajian, di bawah satu projek bernama NESFORCS, iaitu ‘Neural Scheme For Robot Conciousness‘.”.

“Projek kami ini, ingin mencipta sebuah rangkaian skema neural yang kompleks dalam kepintaran tiruan untuk mewujudkan apa yang kita panggil sebagai ‘conciousness‘ dalam robot yang kami bina”.

Mata Hackim terbuntang mendengar penjelasan Profesor Arif. Tidak disangka, persoalan-persoalan berat yang ada dalam hatinya itu mengemudi dirinya ke sebuah lembah yang lebih berat lagi.

Bersambung..

Arya Putra
Arya Putrahttps://omghackers.com/
A regular tech blogger who have passions for cats. I will not put my trust on anybody who hated them, doesn't matter if they are my friends or family. I have a dream where I am the owner of a Cat Cafe. Help me achieve it by hiring me as your reviewer. For any review inquiries, you can contact me at [email protected]

Artikel Terkini

spot_imgspot_img

Artikel Berkaitan

Apa pendapat anda?

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
spot_imgspot_img
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x