Firefox Quantum : Ulasan Setelah Sehari Penggunaan Penuh

Mozilla telah memperkenalkan Firefox Quantum secara rasmi dan ianya memang pantas. Sangat pantas.

Tanggal 15 November 2017, Mozilla, sebuah syarikat yang memperjuangkan kebebasan internet telah melepaskan versi pelayar web terbaru mereka iaitu Firefox Quantum. Bagi pengguna Firefox sedia ada, anda cuma perlu mengemaskini pelayar web masing-masing kepada versi v57 untuk menaik taraf Firefox anda kepada Firefox Quantum. Atau boleh saja muat turun di laman rasmi Firefox.

Saya telah mencubanya selama sehari dengan penggunaan menyeluruh untuk kerja dan juga kasual. Sebagai pengguna Google Chrome sebagai pelayar utama untuk sekian lama, tanggapan pertama saya setelah menaik taraf ke Firefox Quantum adalah; IA SANGAT PANTAS.

Untuk ujian pertama saya, saya telah terlebih dahulu mengemas kini ketiga-tiga pelayar web saya ke versi terkini iaitu Google Chrome, Mozilla Firefox dan Opera Browser. Seterusnya, saya telah menutup dan membuka semula ketiga-tiga pelayar web ini. Firefox Quantum termuat dengan hampir serta merta. Ia sangat pantas sehinggakan saya berasa Google Chrome saya lembab untuk dibuka. Opera Browser macam biasa lah, sangat lembab. Saya rasa Microsoft Edge saya jauh lebih pantas. Saya menggunakan laptop Asus ROG G751 dengan RAM sebanyak 8GB untuk ujian kali ini. Sistem operasi saya ialah Windows 10 Pro 1703.

Seterusnya, seperti yang ditunggu-tunggu, penggunaan RAM. Firefox Quantum menjanjikan kelajuan 2X kali ganda dengan 30% lebih kurang penggunaan memori berbanding Google Chrome. Dari segi kelajuan, tidak dinafikan, memang pantas. Facebook dan Instagram memuat dengan pantas, lebih pantas dari Google Chrome. Gambar dan teks memuat dengan cepat tanpa perlu saya menunggu ikon “loading” berjoget-joget di skrin. Laman Youtube juga, walaupun merupakan produk daripada Google, dimuat lebih pantas pada Firefox Quantum berbanding dengan pelayar web rasmi daripada mereka iaitu Google Chrome.

Ini adalah perbandingan penggunaan RAM pada Firefox Quantum berbanding dengan Google Chrome dan Opera Browser. Ketiga-tiga pelayar web ini sedang membuka 2 tab yang sama. Ironinya, Firefox Quantum dilihat menggunakan paling banyak RAM berbanding dua lagi pesaingnya.

Menariknya, setelah saya membuka 3 lagi tab, penggunaan RAM pada Firefox Quantum menurun kepada hanya 74MB. Saya cuba membuka tab yang sama pada Google Chrome dan Opera Browser, dan penggunaan RAM mereka meningkat dengan mendadak. Penggunaan tab yang banyak terasa lebih selesa pada Firefox Quantum berbanding Google Chrome tanpa ia mengalami kelewatan atau atau kelembapan. Mungkin benar dakwaan Mozilla, Firefox Quantum dengan enjin baru memang dicipta khusus untuk pelayaran yang lancar tidak kira samada anda membuka 10 mahupun 100 tab serentak.

Apa Lagi Yang Menarik?

Dengan enjin baru, Mozilla menawarkan antaramuka yang baru pada Firefox Quantum. Sekali pandang, nampak macam Microsoft Edge pula. Saya seorang yang kurang memilih pada rupa. Apa yang penting, adalah kefungsian dan kebolehan serta kemampuan. Tapi saya memang sangat sukakan sesuatu yang minimalis. Butang-butang pada pelayar web ini dipenuhi dengan pilihan untuk diperibadikan mengikut kehendak pengguna termasuklah kedudukan butang pada palang menu. Tema gelap yang disediakan juga nampak kemas dan seolah-olah membuatkan ruangan skrin terasa lebih besar untuk membaca kandungan laman sesawang. Halaman tema juga telah diberi nafas baru yang lebih segar.

Firefox Quantum juga telah menawarkan fungsi segerak yang lebih mantap di antara pelayar versi desktop dan juga pelayar versi mudah alih. Sama seperti Google Chrome, menyambung kerja daripada pelayar desktop kepada pelayar mudah alih kini lebih mudah pada Firefox Quantum. Penanda buku, sejarah dan maklumat kuki disegerakkan dengan lebih baik pada Firefox Quantum baru.

Mozilla juga menawarkan lebih privasi dengan produk baru mereka ini. Mereka telah menambah baik Pelayaran Sulit mereka pada Firefox Quantum agar maklumat anda lebih dilindungi ketika melayari laman sesawang sensitif.

Fungsi Baru Yang Sangat Memudahkan

Sebagai seorang penulis dan seorang pekerja yang banyak melakukan kerja-kerja pembentangan, saya banyak menangkap paparan laman sesawang.Selalunya, saya terpaksa menekan butang print screen pada papan kekunci dan kemudiannya menampal paparan tersebut pada Microsoft Paint. Sekiranya perlu penyuntingan, saya terpaksa memotong pula gambar pada Microsoft Paint dan kemudian barulah saya dapat menyimpan gambar yang dikehendaki tersebut.

Kini dengan Firefox Quantum, ia menawarkan fungsi Screenhot terbina dalam. Saya boleh memotong, memilih, menyimpan dalam akaun Firefox Screenshot saya ataupun muat turun tangkap layar saya terus ke komputer saya. Lebih menarik lagi, ia menawarkan fungsi memilih elemen untuk ditangkap seperti Magic Select pada Adobe Photoshop dengan membaca kod elemen pada halaman sesawang. Jadi tidak perlu susah-payah anda membidik tetikus anda pada gambar yang anda mahukan.

 

Kerisauan Paling Besar

Ramai yang menyuarakan ketakutan untuk beralih kepada Firefox Quantum setelah sekian lama setia bersama Google Chrome. Antara alasan yang popular adalah masalah dengan flash dan juga kurang sokongan extension. Saya tiada komen dengan extension yang banyak, namun saya menggunakan extension yang sama pada Google Chrome saya dan juga Mozilla Firefox saya yang lama. Setelah naik taraf ke Firefox Quantum, extension lama saya masih lagi berfungsi dengan baik. Ya, IDM MASIH BERFUNGSI DENGAN BIASA pada Firefox Quantum.

Video pada laman popular seperti Youtube dan Facebok juga dapat dimainkan dengan baik tanpa masalah sepanjang penggunaan saya. Tidak ketinggalan, saya juga sudah membuat ujian pada laman Tumblr kerana ramai yang mempersoalkan prestasi Firefox Quantum pada laman Tumblr. Juga sama, tiada masalah.

Masa pemuatan pada laman sesawang juga dilihat lebih pantas berbanding Google Chrome. Tiada masalah kelambatan komen pada Facebook atau Youtube sepanjang ujian saya. Laman forum sperti XDA, Reddit dan Lowyatt Forum juga berfungsi dengan lancar.

Kesimpulannya?

Mungkin Firefox Quantum masih belum sempurna. Di sebalik kehebatannya, ada juga pengguna yang melaporkan keralatan. Malang atau bernasib baik, ia tidak berlaku kepada saya untuk saya tuliskan. Namun ia sudah cukup sempurna untuk saya kembali rujuk kepada Firefox setelah sekian lama menduakannya dengan madunya si Google Chrome.

Sekian sahaja penulisan saya pada kali ini. Jangan lupa like, share dan komen artikel ini untuk lebih banyak artikel di masa akan datang.

Murung Mohowongso
Murung Mohowongsohttp://omghackers.com
Hobi saya membeli belah atas talian. Ketagih dalam mengumpul gajet dan semua mainan yang tidak mampu dibeli semasa zaman kanak-kanak dahulu. Akan ambil masa minima 2 minggu membaca review dan buat ulangkaji sebelum membeli sebarang produk. Sangat tidak suka berpura-pura dan juga orang yang berpura-pura. Asertif dan introvert, tapi tak pernah biadap. Hubungi saya di [email protected]

Artikel Terkini

spot_imgspot_img

Artikel Berkaitan

Apa pendapat anda?

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
spot_imgspot_img
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x